RAKYAT jelata berpusu-pusu hadir ke Istana Anak Bukit untuk memberi penghormatan terakhir buat Sultan Kedah ke-28, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, seawal jam 8 pagi, orang awam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sudah mula berkumpul di sekitar Istana Anak Bukit.

Mereka sanggup menunggu lama dalam kepanasan, walaupun hanya dibenarkan masuk dan melakukan istiadat penghormatan terakhir bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Kenangan, Rokiah Saleh berkata, dia sanggup datang dari Kulim untuk memberi penghormatan terakhir.

“Seawal jam 6.30 pagi, makcik dan rakan menaiki bas. Kami sampai satu jam lebih awal dari waktu orang awam dibenarkan masuk ke istana.

“Walaupun dalam kepanasan di bawah matahari terik depan pintu pagar istana sebelum dibenarkan masuk, kami setia menunggu,” katanya.

Sementara itu, Azilah Walat, 68, dari Kampung Alor Gunung pula berkata, dia tetap datang ke istana untuk beri penghormatan walaupun mempunyai masalah penglihatan.

“Makcik tak nampak, tapi tu bukan halangan untuk tidak menzahirkan kesedihan atas pemergian Almarhum kerana ia peristiwa tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Azilah berkata, dia sanggup berjalan kaki sejauh dua kilometer (km) dalam keadaan mata tidak nampak sambil ditemani anak saudaranya.

“Dahulu, mak cik sering masuk ke istana untuk menjual barangan kepada kakitangan istana. Itu yang makcik nak sangat datang sini,” katanya.

Bekas setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Wan Ali Wan Long berkata, dia menunggu 30 minit di hadapan pagar.

Menurutnya, dia menyanjung Almarhum memandangkan baginda berjiwa rakyat, bersikap lemah lembut, berbudi bahasa dan amat menepati masa.

Malah, katanya, hubungan baginda dengan persatuan amat baik, dan Almarhum sentiasa merujuk maklumat sejarah dengan persatuan.

“Pemergian baginda satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat. Jadi, saya mewakili persatuan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum,” katanya.

Pesara tentera, Mohammad Hassan, 67, dari Lunas, Kulim, berasa amat sedih atas kehilangan raja berjiwa rakyat seperti Almarhum baginda.

Katanya, dia amat menyayangi dan menghormati Almarhum baginda yang memerintah negeri dengan baik amat lama sejak menaiki takhta.

“Kali terakhir, istana dibuka kepada orang awam untuk menghadiri Istiadat Kemangkatan dan pemakaman Diraja Sultan Kedah hampir 60 tahun lepas ketika kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Badlishah,” katanya.

Bagi pengerusi Rumah Anak Yatim Bekas Tentera, Abdullah Ahmad berkata, kemangkatan baginda merupakan berita sedih kepada rakyat jelata.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, seluruh rakyat Kedah termasuklah dirinya mendoakan Almarhum raja berjiwa rakyat itu.

Katanya, dia amat sedih atas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim dikasihi rakyat jelata yang telah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada usia 89 tahun di Istana Anak Bukit, pada jam 2.30 petang semalam.
  • SHAH ALAM - Media sosial dipenuhi ucapan takziah sama ada dari pemimpin negara mahupun rakyat Malaysia susulan kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit, kira-kira jam 2.30 petang tadi
  • SHAH ALAM - Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyingkir perdana menteri.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.