KOTA KINABALU – Rakyat harus memartabatkan bahasa kebangsaan bagi memastikan kesatuan bangsa, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap pada Seminar Malaysia Baharu anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Sabah, beliau menjelaskan prinsip memartabatkan bahasa kebangsaan telah dimuktamadkan dalam Perlembagaan Negara bagi mengikat rakyat sebagai satu bangsa.

“Saya masih mempertahankan bahawa prinsip yang dimuktamadkan dalam Perlembagaan Negara iaitu soal bahasa, soal hak keistimewaan, soal Islam dan soal raja-raja, itu bagi saya hanya boleh mengikat kita sebagai satu bangsa...dengan memberikan ruang yang cukup kepada semua penganut agama lain.

“Justeru di situ, penggunaan bahasa lain, termasuk Bahasa Inggeris, dan juga pertumbuhan ekonomi semua kaum, itu tidak dipertikaikan.

“Yang menjadi masalahnya ialah kelembapan, kelemahan kita, terutama dalam kalangan kepimpinan kita untuk memastikan landasan itu bukan sahaja dimengerti (difahami), tetapi prinsip itu dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan pidato khas bertajuk ‘Membina dan Merealisasikan Ideologi Kesatuan Bangsa’ sempena seminar itu di sini.

Anwar turut menjelaskan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan untuk memastikan kesatuan bangsa bukan bermaksud untuk menidakkan penguasaan bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan sebagainya.

Katanya, dengan memartabatkan penguasaan bahasa kebangsaan akan mengupayakan rakyat untuk menggalakkan dan memberi ruang penguasaan bahasa lain. - Bernama