• Raja  Bahrin Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah
1 /

KUALA NERUS – Arkitek terkemuka, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah membidas kerajaan negeri yang didakwa lewat bertindak membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, hingga mengakibatkan kejadian bumbung runtuh berulang lagi semalam.

Beliau menyifatkan kejadian yang berlaku yang mengakibatkan tiga pekerja kontrak warga tempatan cedera itu sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan di samping kerajaan negeri tidak mengambil iktibar daripada tragedi pertama yang berlaku Jun 2009.

Raja Kamarul Bahrin, salah seorang arkitek perunding yang dilantik dalam pembinaan bumbung stadium yang bernilai RM295 juta itu pernah mengemukakan cadangan bertulis kepada kerajaan negeri supaya segera menanggalkan struktur bumbung yang tidak runtuh kerana dipercayai tidak lagi selamat untuk digunakan.

“Selepas runtuhan pertama di bahagian tempat duduk tetamu kenamaan sebelum ini (2 Jun 2009) saya mencadangkan secara bertulis kepada kerajaan supaya bumbung yang tidak runtuh diturunkan segera kerana yang buat bumbung adalah kontraktor yang sama, pereka yang sama dan pekerja yang sama.

“Jadi kalau yang itu (bumbung) bermasalah (sebelum runtuh), yang ini (selepas runtuh) juga bermasalah, tunggu masa saja. Soalnya apabila kita beri cadangan, kenapa perlu tunggu sampai tiga tahun? Syukur tiada yang meninggal, tapi kita tidak ambil iktibar lagi,” katanya ketika melawat stadium berkenaan semalam.

Beliau turut meminta kerajaan negeri menampilkan pereka bumbung stadium berkenaan yang berasal dari Korea Selatan kerana sehingga kini, identiti individu berkenaan tidak jelas.

“Sehingga kini, kita tidak tahu siapa sebenarnya orang Korea yang mereka bumbung ini (stadium). Apa nama dia kerana rakyat berhak tahu. Jadi kita minta kerajaan tampilkan orang ini (pereka bumbung).

“Apa perjanjian kerajaan (Terengganu) dengan pereka tersebut (Korea), kita minta kerajaan jelaskan kerana ia mesti ada pertalian kontrak dengan pereka asal,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana kerajaan tidak pernah memanggil dan berbincang dengan konsultan asal dalam pembinaan stadium berkenaan selepas ia runtuh kali pertama pada Jun 2009.