SHAH ALAM - Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menegur jentera Umno yang dilihat terlalu mengagung-agungkan bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda menjelang PRU14 ini.

Menurutnya, perkataan-perkataan Inggeris yang digunakan ada penggantinya di dalam bahasa Melayu.

"Sayang sekali Umno sangat terikut-ikut guna bahasa Inggeris. 'Dry run, war room, candidate' dan lain-lain.

"Mereka tak mahu guna raptai pilihan raya atau bilik gerakan. Apa, bahasa Melayu tak ada gah kah?," katanya di dalam Twitternya sebentar tadi.

Selain itu, Rais yang pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan turut mengingatkan pemimpin Umno sekarang supaya mengutamakan bahasa Melayu berbanding bahasa lain.

"Memperjuangkan bahasa Melayu dan budaya adalah di bawah Fasal 3 Perlembagaan Umno, lupa?" katanya.