PETALING JAYA - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyeru seluruh pimpinan Pakatan Harapan untuk terus berlaku adil terhadap rakyat.

"Sebelum ini kita adalah parti pembangkang yang hanya perlu mendedahkan, melawan...tetapi sekarang ini, nasib rakyat Malaysia adalah di bahu pimpinan baru yang ada hari ini.

"Saya nak sebut kepada sahabat-sahabat pimpinan Pakatan Harapan iaitu selama berpuluh tahun kita jadi pembangkang, bila jadi kerajaan baik di Putrajaya atau di negeri, kita tahu susah payah kita apabila kerajaan dahulu tidak berlaku adil kepada kita.

"Sebab itu saya minta kepada rakan pakatan supaya ingat kita perlu sayang kepada pembangkang kerana mereka juga ada tugas untuk menjaga kita semua.

"Rakan-rakan BN dan Pas ada tugas besar sebagai pembangkang bagi memastikan hak rakyat diangkat sampai bila-bila," katanya dalam ucapannya di Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur, Petaling Jaya, bagi menyambut pembebasan Anwar.

Beliau juga meminta supaya sahabat kerajaan dalam Pakatan Harapan sedar bahawa setiap satu sen yang dibelanjakan adalah wang rakyat.

"Saya minta sahabat dalam Harapan bahawa yang memenangkan kita adalah rakyat semua," katanya.