KUALA LUMPUR - Orang awam yang mempunyai sejarah digigit anjing atau kucing di daerah Serian, Sarawak dari 1 April  hingga 17 Julai ini  dan di kawasan sekitar Kuala Sepetang, Perak dalam tempoh 4 hingga 17 Julai dinasihatkan membuat pemeriksaan risiko jangkitan rabies dan mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan risiko jangkitan rabies dan rawatan lanjut  boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.

"Orang awam yang tinggal di kawasan tersebut juga dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan wabak penyakit anjing gila atau rabies dengan memastikan anjing atau kucing peliharaan mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan menyentuh haiwan tersebut.

"Dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar  terdekat jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau berkelakuan agresif,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika terdapat anjing atau kucing liar berkeliaran di kawasan tempat tinggal, selain kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas bersentuh dengan anjing atau kucing peliharaan atau liar.

Beliau berkata, semalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia melaporkan seekor anjing didapati positif rabies di Kuala Sepetang, Taiping Perak pada 15 Julai lalu.

Anjing berkenaan menggigit dua  kanak-kanak di kawasan tersebut pada 4 Julai lalu dan kedua-dua kes diberikan rawatan pesakit luar serta tidak mempunyai gejala klinikal serta dalam keadaan stabil.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama sedang melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kes gigitan anjing di kawasan terlibat bagi tujuan rawatan dan pemantauan.

Tiada kes positif rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Negeri Melaka dan Perak, setakat ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dimasukkan ke wad Hospital Melaka kerana mempunyai sejarah digigit anjing di Serian Sarawak, menunjukkan keputusan negatif.

Katanya, mangsa dalam keadaan stabil dan pemeriksaan serta pemantauan lanjut akan dibuat kerana tempoh inkubasi penyakit rabies adalah lama.

Hari ini, kanak-kanak perempuan lima tahun yang merupakan mangsa keempat wabak penyakit anjing gila atau rabies disahkan meninggal dunia di Unit Jagaan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 2.05 petang akibat rabies encephalomyelitis. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIBU - Orang ramai di Sibu diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dan panik dengan khabar angin yang tular di media sosial menyatakan penyakit anjing gila atau rabies sudah mula merebak di bandar itu.
  • KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan dua lagi kawasan baharu wabak anjing gila atau Rabies yang didapati positif iaitu di kawasan Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba, Kuching.