SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan  setiap Majlis Agama Islam mengkaji pelaksanaan jangka panjang pengagihan zakat supaya umat Islam dapat dibebaskan daripada kitaran kemiskinan.

Setiausaha Agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, PUM percaya melalui kerjasama dan sokongan pihak pentadbir, para ulama, ahli akademik serta lain-lain pihak berwajib, wawasan itu dapat merealisasikan.
 
Beliau berkata, PUM turut bersetuju dan menyokong usaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melancarkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP baru-baru ini kerana ia satu langkah konkrit dan mustahak untuk memastikan seluruh asnaf yang berkelayakan menerima bantuan zakat.

“Usaha ini dilihat mampu memberikan manfaat kepada umat Islam seluruhnya memandangkan keadaan semasa menunjukkan trend positif di mana kesedaran membayar zakat di kalangan umat Islam semakin baik.

“Jumlah kutipan yang diperoleh di seluruh Majlis Agama Islam di peringkat negeri telah membuktikan melalui jumlah kutipannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, apabila MAIWP menggerakkan usaha pengagihan zakat secara agresif melalui kaedah turun padang, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kepercayaan dan semangat pembayar zakat untuk memenuhi tuntutan kewajipan agama.

Roslan berkata, amalan berzakat jika dapat disemarakkan, kemajuan sosial dan ekonomi umat Islam akan menjadi bertambah baik.

“PUM juga amat mengharapkan model usaha yang dijalankan ini akan turut sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam seluruh Malaysia.

“Usaha MAIWP ini juga selaras dengan resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri anjuran Jakim pada 26 hingga 27 September lalu, di mana Majlis Agama Islam Negeri setuju melengkapkan usaha negara membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan serta taraf sosioekonomi ummah,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan berkata, instrumen zakat menjadi salah satu sistem berteraskan wahyu yang menjadi wadah pembentukan kestabilan ummah, di samping meraih status sebuah negara “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.