• Mohd Puad Zarkashi Mohd Puad Zarkashi
1 /

SUNGAI PETANI - Dasar pertukaran guru akan disemak semula bagi memastikan prosedurnya dapat difahami dengan lebih jelas oleh pihak berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sesetengah guru tidak memahami prosedur yang telah ditetapkan, sebelum membuat permohonan pertukaran tempat mengajar.

"Mengenai masalah pertukaran ini, kita faham isu ini dan amat bersimpati sebab ketika mula bertugas, tiada masalah tapi ia timbul selepas guru berkahwin dan mempunyai anak.

"Masalah ini lebih kepada soal opsyen, contohnya kalau guru Bahasa Melayu keluar dan tiada ganti, akan timbul masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 Tahun Sekolah Kebangsaan Merbok dekat sini hari ini.

Beliau berkata semakan yang menyeluruh akan dilakukan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian termasuk mengambil kira polisi sedia ada dan melakukan kemas kini data guru-guru.

Mohd Puad berkata permohonan untuk pertukaran tempat mengajar dibuka dua kali setahun iaitu pada Jun serta Disember dan kelulusan diberi berdasarkan beberapa faktor kritikal antaranya ancaman keselamatan atau guru terbabit menghidap sesuatu penyakit.

"Pertukaran dibenarkan pada bulan Jun kerana pada waktu itu belum ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (atau peperiksaan besar yang lain)," katanya.

Beliau berkata bagi Disember tahun ini, pihaknya menerima 12,884 permohonan pertukaran membabitkan guru sekolah rendah dan 9,788 bagi sekolah menengah, namun hanya 1,922 (sekolah rendah) dan 1,319 (sekolah menengah) diluluskan.

Katanya antara subjek yang sukar mendapat pengganti jika seseorang guru bertukar ialah Pengajian Islam, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Kemahiran Hidup.

Dalam perkembangan lain Mohd Puad mencabar pakatan pembangkang mengemukakan rangka tindakan atau perancangan strategik pendidikan yang mahu mereka laksanakan jika memerintah negara ini.

"Kalau setakat janji nak bagi RM500 kepada guru, itu bukan dasar, hanya gimik politik sahaja. Perdana Menteri beri bonus kepada semua kakitangan awam termasuk guru sebanyak sebulan setengah gaji dan jumlah itu lebih RM500 yang dijanjikan oleh pembangkang," katanya.- Bernama