KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen pembangkang akan 'menggegarkan'  semula isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa di Parlimen, Isnin depan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu PTPTN perlu dibangkitkan rentetan daripada rungutan daripada pihak mahasiswa berhubung perkara ini.

Selain itu katanya, beliau sendiri  telah menerima satu resolusi daripada Mahasiswa Malaysia 2018 yang membantah Rang Undang-undang Perbekalan 2019 kerana tidak menjaga kebajikan dan kepentingan mereka.

“Saya harap isu berkaitan dengan pembayaran semula pinjaman PTPTN ini dapat dimasukkan dalam belanjawan tambahan seperti beberapa perkara lain yang tertinggal sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya lagi, PTPTN pada era PH juga tidak seperti yang dijanjikan oleh mereka sebelum menjadi kerajaan.

"Janjinya manifesto PRU adalah untuk mansuhkan terus  tapi dipinda kepada yang gaji RM4,000 sebulan baharu potong tapi selepas bentang bajet, bayaran kena buat selepas dapat gaji RM1,000 sebulan.

"Maknanya setiap mahasiwa yang mula bekerja kena bayar sebab gaji mereka yang diploma atau ijazah, lebih RM1,000," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, lagi keistimewaan pun sudah tiada, jika dahulu siapa yang bayar konsisten akan dapat diskaun, sekarang tidak ada.

"Dan dulu kita tawar beri motivasi kepada yang cemerlang dapat kelas pertama akan ubah kepada biasiswa, tapi kini tiada lagi...ini perkara yang tiada keistimewaan lagi kepada mahasiswa," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada awal November lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam telah mengumumkan pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Pengumuman itu berbeza dengan manifesto PH pada PRU14 yang berjanji hanya peminjam bergaji melebihi RM4,000 sahaja perlu menjelaskan hutang.