KUALA LUMPUR - Pertemuan antara Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan bekas aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim akan diadakan Isnin depan bagi membincangkan kemelut Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan beberapa perkara berbangkit lain.

Maszlee menyatakan beliau sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang boleh membantu memartabatkan sistem pendidikan negara.

"Sebagai menteri saya bersifat terbuka menerima pandangan khususnya daripada aktivis pelajar seperti Adam Adli yang sudah lama berjuang menuntut keadilan sistem daripada kerajaan sebelum ini.

"Dasar terbuka ini akan memberi ruang untuk semua pihak termasuk kementerian dan orang awam untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik demi masa depan negara," kata beliau kepada Sinar Harian.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, dan ini termasuklah perkara berkaitan dengan PTPTN dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

"Saya juga berusaha dengan sebaik yang mungkin untuk menyediakan ruang dan kemudahan yang terbaik bagi pelajar-pelajar kita," tambahnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN nak ke terima RM20 sebulan?]

Sementara itu, Adam Adli ketika dihubungi menjelaskan, pertemuan empat mata tersebut akan merundingkan isu berkaitan bebanan peminjam PTPTN dan AUKU.

"Ya, akan bincang tentang PTPTN, termasuk juga isu lain yang perlukan perhatian Menteri Pendidikan.

"Ada banyak isu lain termasuk AUKU dan sebagainya," kata beliau kepada Sinar Harian.

Pertemuan itu diadakan atas inisiatif Maszlee sendiri susulan kritikan Adam Adli yang viral di media sosial mendakwa Menteri Pendidikan itu gagal memenuhi janji manifesto PH PRU14 berkaitan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Adam Adli yang menjadi tokoh demonstrasi menuntut pendidikan percuma sejak 2012 turut melontarkan persoalan mengenai kesanggupan PTPTN untuk menerima pembayaran balik pinjaman pelajar sebanyak RM20 sebulan sekiranya pendapatan mereka hanya RM 1000 sebulan selepas bekerja dan tempoh masa melunaskan pinjaman berkenaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2019 3 November lalu mengumumkan bahawa peminjam PTPTN yang berpendapatan lebih RM1,000 akan dikenakan potongan gaji berkadar antara dua hingga 15 peratus.

Ketetapan baharu kerajaan PH  menerima kritikan pedas dan hangat daripada rakyat dan pembangkang kerana menunjukkan kerajaan tidak amanah dengan manifesto malah terus menekan peminjam.