LENGGONG – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM2.43 bilion iaitu lebih 60 peratus bayaran balik pinjaman daripada peminjam PTPTN sehingga Jun tahun ini, kata pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata ini berikutan usaha PTPTN menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengadakan kempen dan pembayaran secara dalam talian bagi mengutip balik pinjaman daripada peminjam.

Menurut Shamsul Anuar, pihaknya juga menyasarkan RM4 bilion bagi kutipan balik pinjaman PTPTN tahun ini.

“Berdasarkan prestasi itu dan peningkatan kutipan, kita yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana pada tahun lalu kita mencapai kutipan RM3.4 bilion sedangkan sasaran kita pada tahun lalu ialah RM2 bilion.

“Kita masih memberi peluang kepada peminjam untuk membayar balik sehingga 31 Dis ini dengan menawarkan potongan 15 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh dan potongan 10 peratus melalui pembayaran balik secara potongan gaji,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Bantu Rakyat Parlimen Lenggong di Dataran Kampung Luat dekat sini hari ini.

Shamsul Anuar yang juga anggota Parlimen Lenggong berkata peminjam yang mempunyai masalah boleh datang ke pejabat PTPTN untuk berunding mengenai bayaran balik pinjaman mereka.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 857,009 waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) telah ditunaikan pelajar membabitkan RM1.26 bilion sehingga 31 Julai lepas.

Bagi kemasukan sesi September 2017/2018, seramai 20,156 pelajar ditawarkan WPP PTPTN membabitkan peruntukan RM30.23 juta dan di Perak sahaja, beliau berkata 2,119 pelajar ditawarkan WPP membabitkan RM3.179 juta.

“Seramai 273 adalah pelajar dari Parlimen Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar dan Padang Rengas membabitkan peruntukan RM409,500.

Setiap pelajar menerima WPP sebanyak RM1,500 bagi meringankan beban ibu bapa untuk membuat persediaan serta membolehkan anak-anak mereka masuk ke universiti dan waran WPP itu boleh ditunaikan  mulai 22 Ogos hingga 22 Okt tahun ini di kaunter cawangan CIMB Bank sahaja,” katanya.

Shamsul Anuar berkata PTPTN turut memberikan pinjaman kepada mereka yang layak dengan syarat mereka adalah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

“Kita mahu memastikan mereka yang layak mendapat pinjaman ini selain memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam permohonan PTPTN,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan menaikkan kadar cukai bagi menampung kekurangan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mensasarkan kutipan hutang lebih tinggi pada tahun ini, berdasarkan suasana semasa menunjukkan sikap peminjam yang semakin positif.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah mempunyai pendapatan sengaja memilih untuk tidak membayar hutang mereka walaupun mampu berbuat demikian.
  • KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Cabutan WOW! 20 Tahun kepada semua pendeposit yang membuat pembukaan akaun atau penambahan simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.