• PSM minta PR beri empat kerusi Arutchelvan menunjukkan manifesto PSM yang dilancarkan semalam.
1 /

SEMENYIH – Parti Sosialis Malaysia (PSM) meminta Pakatan Rakyat (PR) memberi laluan kepada empat calonnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput dan Dun Jelapang di Perak serta Dun Kota Damansara dan Dun Semenyih di Selangor.

Setiausaha Agungnya, S Arutchelvan berkata, PSM optimis bahawa PR akan mempertimbangkan permintaan itu memandangkan PKR Perak baru-baru ini mengumumkan tiada halangan jika Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar bertanding atas tiket PSM di situ.

Menurutnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut malah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga mengatakan perkara sama dalam sebuah portal berita.

“Kita akan pastikan tiada pertandingan tiga penjuru di tempat PSM bertanding dan kita minta PR beri laluan. Kita tunggu keputusan dari PR,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto PSM di sini semalam yang turut dihadiri Bendahari Pusat PSM, A Sivarajan.

Arutchelvan berkata, bagaimanapun PSM tetap akan menyokong calon PR di semua kawasan walaupun laluan tidak diberikan kepada calon parti itu.

“Paling utama kita berunding, tetapi jika ada calon lain di Semenyih kita minta rakyat nilai sendiri siapa lebih baik kerana calon yang menang itu akan terus bersama PR, tidak akan bersama BN,” katanya.

Dalam itu katanya, PSM masih berharap PR memberikan peluang kepada mereka walaupun terdapat sedikit masalah dan kontroversi di Dun Jelapang berbanding tiga kerusi lain ingin ditandingi PSM.

Beliau berkata, polisi PSM sangat jelas kerana PSM tidak akan meletakkan calonnya di kawasan yang mana mereka tidak memberikan khidmat dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

“Seorang ahli PSM, perlu membuat kerja sekurang-kurangnya lima tahun di satu tempat sebelum menjadi calon dan bertanding. Semua calon PSM adalah aktivis rakyat dulu dan sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai manifesto dilancarkan itu, beliau berkata, PSM berdepan tiga cabaran yang perlu ditangani iaitu masalah kesesakan lalu lintas, pencemaran sungai dan bau serta banjir kilat.

“PSM membentangkan manifesto sebagai langkah penyelesaian bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Semenyih dengan melobi untuk sistem Aliran Transit Massa (MRT) dari Kajang melalui Semenyih dan Beranang.

“Langkah lain difikirkan ialah pembukaan jalan dari Rincing Hilir ke Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas). Perlu merunding semula dengan Lekas untuk mengurangkan kadar tol atau Kerajaan ambil alih lebuh raya,” katanya.

PSM juga mahu menaik taraf pengangkutan awam melalui Jalan Broga, Sungai Lalang dan Bangi Lama dan menyelesaikan masalah pencemaran sungai di Semenyih.