PRS, tabungan persaraan sukarela ditawar mulai September
Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penubuhan Skim-Skim Persaraan Swasta di Kuala Lumpur semalam. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah menubuhkan Pentadbir Pencen Swasta (PPA), sebuah pusat sehenti yang akan mentadbir urus skim persaraan swasta di negara ini.

Dalam satu kenyataan, SC berkata, PRA akan diterajui oleh Zaiton Mohd Hassan, yang kini pengarah urusan Capital Intelligence Advisors Sdn Bhd.

"Lain-lain anggota lembaga itu ialah Datuk Nozirah Bahari, Datuk Dr Thillainathan Ramasamy, Ou Shian Waei dan Ahmad Zakie Ahmad Shariff," katanya.

SC berkata ia telah meluluskan set pertama yang mengandungi 24 dana oleh beberapa skim persaraan swasta yang disediakan oleh beberapa penyedia Skim Persaraan Swasta yang diluluskan oleh SC dan ini akan ditawarkan kepada orang ramai mulai bulan September.

Ia berkata penubuhan PPA adalah komponen akhir kerangka Skim Persaraan Swasta (PRS).

PRS adalah satu skim simpanan persaraan sukarela yang dibentuk oleh penyedia dana sektor swasta yang mendapat lesen dan kelulusan SC.

Dana di bawah skim itu juga tertakluk kepada kelulusan SC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan komponen akhir kerangka PRS, semalam.

Set pertama skim-skim itu terdiri daripada 24 dana oleh beberapa penyedia skim persaraan swasta yang telah diluluskan oleh SC dan tersedia untuk ditawarkan kepada orang ramai mulai September dan bulan-bulan seterusnya.

PRS ialah skim simpanan atau tabungan persaraan sukarela yang distrukturkan oleh para penyedia dana sektor swasta yang berlesen  dan diluluskan oleh SC.

Sejajar dengan ini, SC, PPA dan penyedia PRS akan mengadakan siri program pendidikan dan kesedaran tidak lama lagi.

PRS bertujuan memberikan saluran tambahan kepada pekerja dan mereka yang bekerja sendiri untuk membuat simpanan persaraan mereka.

Pelbagai jenis dana akan disediakan bagi memenuhi matlamat persaraan dan profil pelaburan individu.

SC berkata, ia juga akan memberikan peluang kepada majikan untuk membuat sumbangan tambahan secara sukarela ke atas simpanan persaraan kakitangan mereka.

"Sebagai insentif penyertaan dalam PRS, individu diberikan pelepasan cukai sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat.

"Pengecualian cukai juga diberikan kepada pendapatan yang diterima dari dana PRS," katanya.

Dalam pada itu, Najib: "PRS menawarkan peluang untuk rakyat. Dalam kes individu, PRS boleh menyediakan persekitaran untuk individu mengukuhkan dana persaraan bagi pergerakan kerjaya, sementara untuk majikan, PRS boleh digunakan sebagai alat untuk mengekalkan dan menarik bakat."

"Saya menggesa agar majikan menimbang menggunakan PRS untuk menawarkan pakej ganjaran atau pulangan yang menarik dalam bentuk sumbangan yang tinggi kepada faedah persaraan pekerja mereka dan pada masa yang sama memberikan pekerja mereka kebebasan untuk membuat keputusan jenis skim yang ingin mereka sertai," tambah beliau.

Najib berkata, perkembangan industri pencen swasta mempunyai potensi untuk mengubah wajah landskap persaraan di Malaysia dengan meningkatkan dan menambah perlindungan berdasarkan sukarela kepada semua sektor pasaran buruh, termasuk yang bekerja sendiri dan membolehkan rakyat Malaysia mendapat tabungan tambahan dan mencukupi apabila mereka bersara.

Bagi menggalakkan penyertaan dalam PRS, Najib berkata langkah-langkah percukaian dalam Belanjawan Persekutuan tahun lepas telahpun diumumkan.

Ini termasuklah pelepasan cukai persendirian sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat kepada PRS bagi pihak pekerja mereka, di atas daripada kadar yang diwajibkan dan sehingga 19 peratus gaji pekerja.

Malaysia pada masa ini dirahmati dengan populasi muda dengan usia purata rakyatnya adalah sekitar 26 tahun.

"Dengan meningkatnya jangka hayat untuk kedua-dua lelaki dan wanita, purata jangkaan hayat Malaysia ketika dilahirkan dijangka meningkat kepada 80 tahun - dalam kata lain, generasi akan datang akan mempunyai lebih 20 tahun untuk terus hidup selepas persaraan.

"Mesejnya amat jelas: Rakyat Malaysia sebagai pengguna mesti berusaha keras untuk menabung/berjimat," kata beliau.

"Apa yang benar-benar saya inginkan ialah memastikan setiap seorang dewasa yang produktif, malah, generasi masa depan Malaysia selepas mereka, akan mempunyai tabungan dan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka benar-benar menikmati alam persaraan mereka," kata Najib.

Dalam membina asas yang kukuh untuk masa depan, Najib berkata, ini seharusnya menjadi matlamat penting yang bukan sahaja kerajaan, tetapi semua rakyat Malaysia, mesti cita-citakan.

Beliau berkata, sebagai tambahan kepada skim KWSP yang diwajibkan dan pelbagai skim sektor awam, kerajaan juga telah meneruskan inisiatif berkaitan yang lain, termasuk cadangan untuk menaikkan usia persaraan ke 60 tahun.

"Sebuah negara yang berpendapatan tinggi mesti mempunyai rangka kerja sosial yang kukuh dan mampan bagi memastikan tabungan/simpanan persaraan yang mencukupi. Ini melibatkan penyertaan sektor awam dan swasta bagi memastikan negara bersedia bagi berhadapan dengan cabaran populasi tua di masa hadapan," kata beliau.

Wawasan 2020, menurut Najib, bukan semata-mata untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK ataupun meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia kerana ia juga mengenai meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Seiring dengan perkembangan ekonomi menerusi usaha dan ikhtiar kita semua - kerajaan, sektor swasta dan rakyat, kita juga mahu memastikan kemampanan cara hidup dan kemakmuran yang negara nikmati.

"Inilah tanggungjawab yang kerajaan tidak pandang ringan dan ia adalah aspek dalaman pelbagai program transformasi kita," kata beliau.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.