KUALA LUMPUR – Identiti kesemua mangsa yang maut dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, di sini awal pagi tadi akan ditentukan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata, ujian DNA itu akan mengambil masa beberapa hari memandangkan kesemua mangsa mengalami kecederaan agak serius susulan kejadian itu.

Menurutnya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan kerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mendapatkan DNA bagi membolehkan ujian dijalankan.

“Kumpulan pertama jenazah seramai 12 orang telah dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk proses bedah siasat sekitar jam 10.40 pagi, diikuti baki 11 lagi mangsa," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di lobi HKL, di sini hari ini.

Beliau berkata, sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu, HKL mengaktifkan Operasi Pengurusan Bencana dan mangsa pertama dibawa ke hospital itu pada jam 6.40 pagi.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata, empat mangsa turut mengalami kecederaan serius susulan kejadian itu, manakala tiga lagi cedera ringan dan dirawat di Wad Pemerhatian Jabatan Kecemasan HKL.

Beliau berkata, dua daripada mangsa yang mengalami kecederaan serius dipindahkan ke wad untuk meneruskan rawatan, manakala dua lagi mangsa masih diberi rawatan resusitasi di Jabatan Kecemasan.

"Dari tujuh mangsa tersebut, enam merupakan pelajar tahfiz manakala seorang lagi mangsa adalah merupakan penduduk yang datang membantu," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Bahagian Psikologi dan Kaunseling Wilayah Persekutuan bagi menyalurkan bantuan.

Katanya, pihaknya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Dalam kejadian itu pada jam 5.41 pagi itu, 21 pelajar dan dua tenaga pengajar di pusat tahfiz terbabit terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUDAI - Kementerian Kesihatan akan terus meneliti perkembangan lanjut mengenai isu telur ayam tercemar dari Eropah yang merebak ke Asia termasuk produk-produk berasaskan bahan itu yang dibawa ke negara ini.
  • PUTRAJAYA - Kebanyakan ibu bapa yang menolak vaksin merupakan mereka yang tinggal di bandar dan berpendidikan tinggi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini.
  • SEGAMAT - "Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan kesihatan jemaah haji semasa menunaikan ibadah di tanah suci Makkah dan Madinah," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan memberi penjelasan terperinci berhubung kelonggaran syarat lulus Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pengambilan pegawai perubatan UD41 pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.