KUALA LUMPUR – Projek mega yang diluluskan kerajaan terdahulu yang pelaksanaannya mencapai lima peratus akan diteruskan, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Bagaimanapun, projek yang belum mencapai lima peratus akan dilihat semula, mengikut pekeliling Kementerian Kewangan.

“Kalau projek itu mengikut pekeliling adalah kritikal dan harus diteruskan, kita akan lihat semula kritikal macam mana...seperti projek untuk kemudahan makanan, bekalan ubat-ubatan atau jalan raya yang banyak kemalangan, ini kita akan lihat semula,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat  jawatankuasa kementerian bagi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 di sini, hari ini.

Mengenai perkembangan CITP, yang merupakan pelan transformasi sektor pembinaan bagi tempoh lima tahun, Baru berkata beliau berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini.

“Sehingga suku kedua 2018, pencapaian 115  Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbanding sasaran sangat cemerlang dengan purata pencapaian keseluruhan 98 peratus.

"Bagaimanapun, pemerhatian menunjukkan prestasi sebenar industri tidak seiring dengan prestasi CITP yang menggalakkan itu.

"Oleh itu, kami mencadangkan supaya kajian separuh penggal untuk CITP diadakan pada 2018 ini bagi menilai pencapaiannya secara keseluruhan," tambah beliau. - Bernama