SHAH ALAM - Kerajaan negeri perlu mempunyai mekanisma bersepadu yang dapat mengawal dan bertindak terhadap penganjuran program sosial melampau dan menyalahi hukum Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri berkata, keseronokan bebas dalam program sosial hanya membuka jalan mungkar kepada maksiat lebih besar yang tentunya cenderung juga kepada pengambilan arak, dadah dan penzinaan.

"Penganjuran program yang menyelitkan slot 'tarian ‘glow in the dark’ dan parti dalam kolam (pool party) secara terbuka termasuk disertai orang Islam, tidak sewajarnya berlaku dan amat menyinggungkan.

"Penganjur masih mengulang anjur program tanpa ada tegahan daripada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini tular sebuah video menunjukkan orang ramai berseronok dan berasak di dalam sebuah kolam bagi meraikan sambutan tahun baru.

Acara tersebut didakwa dijalankan di sebuah taman tema air terkenal di negara ini.

Sehubungan itu, pengguna laman sosial di Facebook mendesak kerajaan menjalankan siasatan terhadap penganjur parti dalam kolam (pool party) itu.

Rata-rata netizen meluahkan kekesalan apabila acara sambutan sebegitu diadakan di Malaysia, yang disifatkan sebagai melampau dan keterlaluan.

Menurutnya lagi, sebaik-baik langkah mengekang atau mencegah adalah sama ada membatal atau dihadkan kepada bukan Islam sahaja.

Jelasnya lagi, kerajaan harus menjadikan penganjuran sedemikian sebagai pengajaran terhadap wujudnya kelemahan penguatkuasaan berkaitan yang perlu diperbaiki segera.

"Selain itu tidakan tegas t​​erhadap penganjur dengan nasihat dan amaran mesti segera diberikan agar ianya tidak berulang.

"Kepekaan awam dari kalangan NGO, aktivis masyarakat, ibu bapa, guru dan lain-lain penting ke arah membimbing anak muda khususnya dari terjebak kepada perkara tersebut," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mahu institusi pengajian tinggi bersifat peka, mengamati serta memahami dan mencari jalan penyelesaian bagi memperbetulkan sebarang kepincangan sosial yang melanda masyarakat pada masa ini.
  • PUTRAJAYA - Persidangan Antarabangsa Pemimpin Muda (ICYL) 2015 di ibu negara dari 19 hingga 21 Mac ini akan menjadi platform melahirkan lebih ramai usahawan sosial dalam kalangan belia untuk membawa perubahan positif kepada komuniti dan negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
  • KUALA TERENGGANU - - Kemunculan pelbagai jenis gajet dengan aplikasi permainan alam maya yang kini menjadi kegilaan kanak-kanak, telah menenggelamkan beberapa jenis permainan tradisional yang popular suatu ketika dahulu.