SHAH ALAM - Pelajar tahfiz menjadi pilihan Yayasan Nur-Karangkraf untuk menerima bantuan bagi Program Back to School tahun ini.

Program anjuran bersama Sinar Harian Terengganu itu menyasarkan 238 pelajar tahfiz peringkat rendah dan menengah dari Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Pengerusinya, Sharah Ibrahim berkata, ini kali pertama Yayasan Nur-Karangkraf memberi tumpuan kepada pelajar tahfiz yang kurang berkemampuan dan tidak pernah menerima sebarang bantuan.

“Kira-kira RM60,000 diperuntukkan bagi program ini. Kami juga akan dibantu 20 sukarelawan yang terdiri daripada karyawan Karangkraf sendiri," katanya.

Menurut Sharah, empat buah bas juga akan disediakan untuk membawa pelajar ke kedai terpilih bagi membeli barangan keperluan persekolahan mereka.

"Program amal ini bakal berlangsung di Ibu Pejabat Sinar Harian Kuala Terengganu pada 14 Oktober 2012 bermula sekitar jam 10 pagi hingga 1 petang,” katanya.

Katanya, program ini diadakan pada Oktober kerana mahu menghindari musim tengkujuh yang sering melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

“Sekurang-kurangnya mereka (pelajar) sudah membuat persiapan awal untuk menghadapi musim persekolahan yang baru pada tahun depan,” katanya.

Yayasan Nur-Karangkraf adalah sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub bagi melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.