PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos 2018 sebagai hari mengundi manakala penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 21 Julai 2018 bagi Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dun N.49 Sungai Kandis, Selangor

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood pada sidang media di Ibu Pejabat SPR selepas mempengerusikan mesyuarat khas sebentar tadi.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Difahamkan, SPR juga sudah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, sebelum ini.

Tempoh berkempen yang ditetapkan bagi PRK Sungai Kandis adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 3 Ogos 2018.

Bagi urusuan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh permohonan dibuka adalah pada 9 Julai (Isnin) dan ditutup pada 21 Julai (Sabtu).

Di samping itu, bagi menjalankan PRK Sg Kandis, SPR akan menggunakan Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).