SHAH ALAM - Penekanan terhadap penjagaan dan pencegahan (primary health care) di peringkat awal boleh mengurangkan kos dalam rawatan khususnya penyakit berisiko tinggi.

 Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, semua sedia maklum bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati.

“Jika kita memperkasakan apa yang disebutkan sebagai amalan sistem penjagaan (the family medicine) ambil pendekatan menjaga kesihatan di tahap asas, kita akan mengawal belanjawan yang besar dalam perawatan seperti kencing manis, darah tinggi dan angin ahmar dan lain-lain penyakit yang berisiko. Disebabkan itu saya mahu praktikkan the primary health care di mana doktor-doktor menjaga kesihatan keluarga kita di peringkat paling asas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia ketinggalan dalam bidang perubatan]

“Kaedah ini didapati dipraktikkan di United Kingdom dan Cuba yang mengamalkan doktor keluarga menjaga tahap keseluruhan kesihatan. Doktor berkenaan bukan menjaga seorang tetapi seramai 175 orang,” katanya dalam Bicara Minda Bersama Menteri Kesihatan dengan tajuk ‘Rakyat Sebagai Tenaga Untuk Negara’ di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.  

Menurutnya, tahap kesihatan mereka disaring dan ternyata kaedah itu mampu mengurangkan kos perbelanjaan perawatan.

Katanya, ribuan doktor, jururawat dan pembantu perubatan bertugas di hospital dan juga klinik sepatutnya membantu pesakit mengawal tahap penyakit di peringkat awal.

“Begitu juga dengan pesakit kanser, kalau kita dapat mengetahui di peringkat awal kita dapat mengurangkan penjimatan.

“Saya mahu menekankan kepentingan untuk kita memberikan segala usaha penjagaan kesihatan di tahap awal,” katanya.