SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan bertemu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan isu harga makanan naik di restoran India Muslim atau kedai mamak.

Presidennya, Ayoob Khan berkata, pertemuan itu dijangka diadakan pada minggu depan bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, setakat ini, pihaknya tidak dapat mengenal pasti 30 peratus kedai mamak yang dikatakan tidak menurunkan atau menaikkan harga makanan dan minuman selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sifar dikuatkuasakan 1 Jun lalu.

"Betul atau tidak (ada kedai mamak tak turun harga) kami tidak tahu. Kita akan bagi kerjasama dengan KPDNHEP untuk ambil penyelesaian dan butiran restoran mana tidak turun harga.

"Kami faham penguatkuasa menjalankan tugas untuk mengambil tindakan dan pengguna juga ada hak kalau harga mahal, boleh buat aduan," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas 30 peratus restoran India Muslim atau kedai mamak menaikkan harga makanan dan minuman di premis mereka walaupun GST sifar sudah dikuatkuasakan.

Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu selepas bahagian penguatkuasaan kementerian itu melakukan pemeriksaan di premis itu pada Mei dan Jun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 30 peratus restoran mamak tidak turun harga]

Ayoob berkata, bermula 1 Jun lalu, kebanyakan pengusaha restoran sudah menurunkan harga makanan dan minuman kerana penguatkuasaan GST kadar sifar.

"Namun mungkin ada segelintir pengusaha yang tidak berbuat demikian berdasarkan kenyataan menteri," katanya.

Menurutnya, pengusaha kedai mamak selalunya mengambil pendekatan tidak menaikkan harga walaupun terpaksa menanggung kos sewa premis dan harga bahan mentah yang tinggi.

"Kami masih mengekalkan harga murah walaupun beroperasi 24 jam," katanya.