PUTRAJAYA - Cukai pelancongan diperoleh akan digunakan untuk mempromosikan sektor itu yang akan memanfaatkan premis penginapan dan hotel.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, cukai pelancongan akan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 September ini dan hanya dikenakan kepada pelancong asing dengan kadar RM10 sebilik untuk setiap malam.

"Orang tempatan atau yang berstatus pemastautin tetap tidak dikenakan cukai ini.

"Adanya cukai ini, ia akan digunakan dalam tujuan promosi Malaysia di luar negara untuk menarik ramai pelancong luar dalam menggalakkan kehadiran pelancong ke negara," katanya ketika ditemui ada Majlis Pelancaran Program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KAK1M) di pekarangan Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Presint 2 di sini hari ini.

Subromaniam berkata, kira-kira 4,000 premis penginapan dan hotel mendaftar bagi tujuan pelaksanaan cukai.

Katanya, pemilik premis penginapan diingatkan supaya tidak menunggu saat akhir untuk membuat pendaftaran dan mencari alasan melengahkan pendaftaran.

"Mereka perlu mendaftar sebelum 31 Ogos ini kerana tempoh pelaksanaannya bermula pada 1 September," katanya.

Menurutnya, Kastam ingin membantu pemilik premis dan akan melancarkan program 'hand holding' minggu hadapan di seluruh negara.

Katanya, hotel dan pengendali premis akan dibantu mengenai tatacara serta isu teknikal dengan pelaksanaan latihan dan sebarang bantuan termasuk pendaftaran cukai pelancongan.

Terdahulu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, cukai itu dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam bagi pelancong asing yang menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan.

Cukai itu dikecualikan bagi premis penginapan 'homestay' atau 'kampung stay' yang berdaftar dengan kementerian, dan premis penginapan dikendali kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau badan berkanun bagi tujuan pendidikan, latihan atau kebajikan dan bukan bagi tujuan komersial.

Malah, pengecualian itu turut diberi kepada premis penginapan untuk kegiatan keagamaan yang didaftarkan di bawah undang-undang dan bukan untuk tujuan komersial serta premis penginapan yang mempunyai empat atau kurang daripada empat bilik.

Mohamed Nazri berkata, RM210 juta hasil pendapatan daripada pungutan cukai itu dijangka dikutip setiap tahun.

Bagi tujuan pelaksanaan cukai itu, pengendali premis penginapan berkenaan perlu berdaftar secara dalam talian di  www.myttx.customs.gov.my.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan memutuskan bahawa cukai pelancongan akan berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Sept ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.