SABAK BERNAM - Politeknik Malaysia mensasarkan meraih sekurang-kurangnya lapan pingat emas dalam Pertandingan Piala Dunia Persekutuan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (Fira) di Taiwan, Oktober depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pendidikan Politeknik, Shabudin Man berkata, pasukan negara mampu meraih kejayaan itu berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian pada kejohanan sebelumnya.

"Kita melihat ada peningkatan dalam pertandingan yang kita sertai di peringkat dunia.

"Kejayaan yang diraih di China pada Disember tahun lalu merupakan kejayaan terbaik yang pernah diraih pasukan kami di peringkat antarabangsa sejak penyertaan kali pertama pada tahun 2010.

"Pada tahun lalu, kita berjaya meraih enam pingat emas, lapan perak dan empat gangsa sekali gus mengatasi pencapaian tahun sebelumnya di Daejeon, Korea Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Majlis Perasmian Penutup Fira Malaysia Kali Ke-10 di Dewan Serbaguna Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), di sini, petang tadi.

Shabudin memberitahu, meskipun Fira tidak menetapkan kedudukan dan juara keseluruhan bagi setiap negara yang bertanding, namun pencapaian tahun lalu menunjukkan Malaysia mempunyai jumlah kutipan pingat keseluruhan terbanyak berbanding negara peserta lain.

"Kalau kita buat perbezaan negara yang masuk bertanding, kita adalah yang terbanyak memenangi pingat dalam kejohanan piala dunia tahun lalu," katanya.

Shabudin berkata, tiga kategori utama yang dijangka mampu meraih pulangan pingat emas kepada negara iaitu dalam acara AndroSot, HuroCup dan RoboSot.

Ditanya, negara yang dijangka menghadirkan cabaran sengit kepada pasukan negara dalam kejohanan itu pada tahun ini, Shabudin berkata, beberapa negara mempunyai kekuatan masing-masing terutama negara dari benua Asia.

"Antara negara terbabit ialah Korea, Taiwan, China dan beberapa negara bukan Asia seperti Mexico dan United Kingdom (UK)," katanya.

Dalam perkembangan sama, Fira Malaysia yang berlangsung sejak 14 Mei lalu, menyaksikan pasukan dari Politeknik Ungku Omar, Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas meraih tujuh pingat emas dan lima perak dengan 12 jumlah kutipan pingat keseluruhan.                       

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima peruntukan berjumlah RM420 juta daruipada kerajaan untuk membina tiga Politeknik baharu di Terengganu, Perak dan Sabah, tahun ini.
  • KUALA LUMPUR - Populariti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara masih berada di takuk yang lama kerana tanggapan salah terhadap kebolehupayaan bidang tersebut.
  • KOTA KINABALU - Politeknik kini dalam proses untuk memperoleh lebih kuasa dalam aspek tadbir urus akademik, penjanaan pendapatan serta perjawatan dangan menjadikan pusat pengajian itu sebagai sebuah badan berkanun.
  • KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendidikan Politeknik yakin semua politeknik di seluruh negara mampu mencapai Indek Petunjuk Prestasi (KPI) dalam tempoh tiga tahun, seperti ditetapkan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.