IPOH – Seorang anggota polis cedera di bahagian dada akibat tertembak diri sendiri menggunakan senjata jenis HK MP5 ketika bertugas di Pondok Pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, hari ini.

Kejadian jam 12 tengah hari itu berlaku, ketika mangsa berusia 24 tahun berpangkat konstabel cuba meletakkan tali seling senjata ke badan, tanpa menyedari senjata digunakan tidak diletak pada kunci selamat.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa yang terkena satu das tembakan di bahagian dada sebelah kiri mengalami pendarahan teruk.

Menurutnya, mangsa yang rebah dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang menggunakan kenderaan polis namun kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Peramsisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Ketika kejadian, mangsa baru masuk menggantikan tugas anggota lain dan daripada siasatan, kita dapati kedudukan senjata itu tidak diletak pada kunci selamat membolehkan tembakan dilepaskan pada bila-bila masa.

“Keadaan mangsa kini stabil hanya kehilangan banyak darah, saya dimaklumkan tiada sebarang kecederaan serius sama ada melibatkan jantung, hati mahupun tulang,” katanya.

Pada tarikh 13 Mac hari ini, sebenarnya genap mangsa berkhidmat selama dua tahun sebagai anggota polis.

Mangsa yang masih bujang dan berasal dari Alor Gajah, Melaka memulakan perkhidmatan dalam PDRM sejak 13 Mac 2016 dan bertugas di IPD Perak Tengah pada 14 September tahun yang sama.

Mohamad Zainal berkata, keluarga mangsa telah dimaklumkan berhubung insiden itu dan kini keadaannya dipantau penuh pegawai perubatan untuk rawatan selanjutnya termasuk kemungkinan menjalani pembedahan.

“Kita klasifikasikan kes ini sebagai satu kemalangan, tidak ada unsur lain, insiden ini berlaku akibat penggunaan senjata yang tidak dikunci dengan selamat,” katanya.