KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP mempersoal tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun yang didakwa ‘menyimpan’ dokumen yang dikemukakan Bank Negara Malaysia (BNM) membuktikan perkaitan antara Jho Low dan 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa semua negara asing telah pun membuktikan kaitan Jho Low dengan 1MDB.

“Namun Malaysia masih tidak mengakui perkara tersebut termasuklah Ketua Polis Negara, beliau kata Jho Low tidak berkaitan langsung dengan 1MDB.

“Saya hari ini mengemukakan sepucuk surat daripada Bank Negara kapada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC),” katanya.

Menurut Tony, dalam surat berkenaan Bank Negara telah pun menerima maklumat secara sukarela daripada dua pihak berkuasa luar negara yang tidak dinamakan.

“Surat berkenaan membuktikan bahawa sebuah syarikat yang bernama Good Star Limited dimiliki oleh Low Taek Jow atau Jho Low.

“Perkara ini penting sebab 1MDB dan juga ketua audit negara telah mengesahkan bahawa 1MDB telah pun menghantar sebanyak RM4.2 bilion dalamakuan Good  Star Limited daripada tahun 2009 hingga 2011,” dedah Tony.

Berdasarkan surat tersebut, Tony berkata, syarikat ini (Good Star Limited) tidak dimiliki oleh Petrosaudi Limited iaitu rakan kerja 1MDB seperti yang disebut, sedangkan ia dimiliki oleh Jho Low.

“Surat ini tak dibentang oleh PAC, namun ia  terbongkar oleh Wall Street Journal sebab tu saya ada surat  ini.

“Surat ni dihantar kepada Pengerusi PAC, Datuk Hassan Ariffin namun beliau nyatakan surat berkenaan tidak boleh pakai. Namun kita tahu itu surat daripada Bank Negara yang ditujukan kepada PAC,” tegasnya.

Tambah Tony lagi, surat berkenaan juga ada dalam simpanan Ketua Polis Negara, jadi soalannya, adakah surat itu sudah disiasat?

“Tak kanlah Bank Negara bohong, guna bukti palsu atau ketua polis negara yang keluarkan kenyataan palsu untuk selamatkan Jho Low, BN dan Perdana Menteri.

“Kita minta pencerahan Ketua Polis Negara supaya nama beliau tidak akan menjadi Ketua Polis Negara yang buruk dalam sejarah,” soalnya.