KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM10.41 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding dengan RM9.98 bilion yang dibayar pada tahun lalu.

Sementara peruntukan bonus adalah sebanyak RM451.73 juta.

"Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.87 juta pemegang unit yang melanggan 142.54 bilion unit ASB," katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB di sini, sebentar tadi.

"Kadar agihan pendapatan dan bonus ini adalah kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan,” tambahnya lagi.

Sehingga 23 Disember 2015, jumlah pendapatan kasar ASB adalah sebanyak RM10.06 bilion dengan pengiraan agihan pendapatan berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2015.

Manakala pengiraan bonus dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh 10 tahun untuk tempoh dari tahun 2006 sehingga 2015.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penurunan jumlah agihan itu daripada 7.50 sen seunit tahun lalu didorong oleh keadaan ekonomi dan saham negara yang susut.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu adalah kadar yang tinggi dan berpatutan jika dibandingkan dengan simpanan tetap yang mempunyai risiko yang rendah.

"Kami sedar dengan persekitaran ekonomi yang mencabar tahun ini. Oleh itu, kita mengharapkan dan menjangkakan agar 2016 akan lebih baik daripada tahun ini," katanya.

Pembayaran agihan pendapatan dan bonus tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit yang boleh mengemaskini buku pelaburan ASB masing-masing mulai 4 Januari 2016.

ASNB tahun lalu mengumumkan agihan pendapatan 7.50 sen seunit serta bonus 1 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Berikut catatan agihan pendapatan ASB untuk beberapa tahun mutakhir ini:-

2013 - 7.70 + 1.00

2012 - 7.75 + 1.15

2011 - 7.65 + 1.15

2000 - 7.50 + 1.15

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd hari ini mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.
  • KUALA LUMPUR - Program Santai Labur PNB anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang juga anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjaya mengupas pemahaman sebenar mengenai pelaburan bijak.
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyenaraikan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) ke dalam senarai dana Skim Pelaburan Ahli (SPA).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.