PORT DICKSON - Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui anak syarikatnya, PNB Value Homes Sdn Bhd sedang dan akan membina sejumlah 5,000 unit rumah mampu milik yang berkualiti dan selesa untuk didiami di seluruh negara.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata Port Dickson telah dikenal pasti sebagai lokasi projek perintis bagi projek perumahan pertama PNB.

"Projek perumahan kedua akan dibangunkan di Pedas, Negeri Sembilan, manakala ketiga di Telok Datok, Banting, Selangor. Projek perumahan di ketiga-tiga lokasi itu mengandungi sejumlah 2,000 unit rumah. Ini bermakna, kita akan membina 2,000 unit rumah manakala baki 3,000 unit lagi akan dibangunkan kemudian.

Kita kini sedang mencari tanah yang sesuai di negeri-negeri untuk pembinaan baki 3,000 unit rumah tersebut. Pembinaan rumah tersebut adalah selari dengan matlamat kerajaan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran rumah mampu milik pertama PNB oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Bagan Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek pembinaan rumah mampu milik di sini akan dimulakan pada bulan Jun ini dan dijangka siap pada bulan Jun 2020.

Katanya rumah mampu milik PNB di sini berkonsepkan kediaman bertanah dengan anggaran keluasan antara 83.6 hingga 92.9 meter persegi (900 hingga 1,000 kaki persegi) yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

"Projek ini akan dibangunkan melalui sistem binaan berindustri (IBS) agar pembinaannya dapat dilaksanakan dengan kos yang efektif. Sejumlah 140 unit rumah teres setingkat bersaiz 6.1m X 21.3m (20' x 70') ditawarkan bermula dengan harga RM180,000 hingga RM200,000 mengikut keluasan tanah," katanya.

Dalam hubungan ini, Abdul Wahid berkata PNB bukannya sebuah institusi pelaburan sahaja, malah sentiasa peka dan bergerak cergas melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat terhadap rakyat Malaysia, antaranya termasuk bantuan untuk meningkatkan tawaran rumah mampu milik.

"Rumah milik sendiri yang sesuai untuk didiami merupakan salah satu asas kepada kehidupan yang selesa demi kesejahteraan rakyat. PNB amat berbesar hati kerana mampu memberi sokongan kepada inisiatif kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat melalui pembangunan rumah mampu milik ini," katanya.

Katanya bertumpu kepada kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan, permohonan bagi rumah-rumah mampu milik ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang telah berkahwin atau merupakan ibu atau bapa tunggal berumur 21 tahun pada masa permohonan.

"Pendapatan individu atau isi rumah bagi pemohon pula tidak melebihi RM5,000 sebulan dan tidak pernah membeli rumah kediaman. Permohonan adalah terhad kepada satu unit bagi setiap isi rumah dan tempoh moratorium pula adalah selama lima tahun," katanya.

Katanya pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang rasmi PNB Value Homes di http://www.pnbvh.com/. - Bernama