SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjiwai kesusahan yang dialami rakyatnya apabila cara pemakanan Perdana Menteri itu berbeza dengan rakyat Malaysia.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata semua rakyat di negara ini makan nasi tetapi PM makan quinoa iaitu sejenis bijirin daripada Amerika Selatan yang harganya sangat mahal.

Katanya, apabila pemimpin sendiri tidak menjiwai kehidupan rakyatnya, sudah pasti mereka tidak akan tahu kesengsaraan yang ditanggung oleh rakyat jelata.

“Harga sebungkus quinoa adalah RM28 bagi 500 gram, menjadi RM56 bagi sekilogram, dan boleh mencecah sehingga RM560 untuk 10 kilogram.

“Pemimpin kita hidup secara mewah sedangkan rakyat pula sengsara dan menderita dengan kenaikan semua barang sekarang ini.

“Najib langsung tak tahu kesengsaraan rakyat, dia tak tahu macamana rakyat susah nak beli beras, semua itu Najib tak rasa sebab dia tak makan nasi dia makan quinoa,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Pengerusi DAP negeri itu, perbelanjaan negara semakin tinggi, oleh sebab itu bajet yang dibentangkan tidak pernah seimbang, sebaliknya defisit kerana perbelanjaan melebihi hasil.

Katanya, Najib seharusnya mengikut contoh Presiden Indonesia Jokowi, apabila mengamalkan cara hidup yang sederhana dan mendekati kehidupan rakyat.

“Kehidupan pemimpin kita tidak sama dengan kehidupan yang dilalui oleh rakyat, mereka (pemimpin) hidup mewah sedangkan rakyat penuh penderitaan.

“Jadilah seperti Jokowi, sentiasa hidup sederhana dan tidak bermegah dengan kekayaan yang ada, ini kerana Jokowi lebih menghormati dan menjiwai kehidupan rakyat berbanding kepentingan peribadi,” katanya.