KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Pahang, di sini.

Pembinaan pusat transit berkeluasan 1,319 meter persegi itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB), dengan kos RM3 juta.

Projek pusat gelandangan dilaksanakan susulan lawatan mengejut Najib pada Julai 2014 bagi meninjau keadaan gelandangan di ibu kota.

Najib yang tiba 11.30 pagi ini di pusat transit itu turut beramah mesra dengan penghuni di situ serta melawat keadaan dan kemudahan yang disediakan.

Turut serta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Pengarah Urusan MRCB, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.

Pada majlis itu, perdana menteri turut menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum diberi taklimat mengenai operasi pusat berkenaan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Operasi pusat itu turut mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk syarikat korporat seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang memberi sumbangan wang tunai RM20,000 bagi menampung kos operasi harian dan syarikat elektronik, Sharp Malaysia, yang menyediakan pelbagai barangan elektrik bernilai RM45,030 untuk kegunaan penghuni.

Sehingga kini, bilangan penghuni sebanyak 141 orang dengan 125 daripada mereka menginap di pusat berkenaan manakala selebihnya datang secara harian untuk menggunakan fasiliti dan mendapatkan makanan.

Bangunan tiga tingkat itu mempunyai kemudahan asas seperti ruang penginapan yang berkapasiti menampung 250 orang, bilik mandi, tandas, dobi, surau, bilik kaunseling, bilik kesihatan dan tempat simpanan barang.

Kaedah pengurusan pusat transit itu terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama adalah untuk tempoh lima bulan pertama bermula bulan ini hingga Jun yang dikendalikan pasukan sementara secara pinjaman daripada YKN, DBKL, Rela, Persatuan Bulan Sabit Merah dan kaunselor.

Fasa kedua melibatkan struktur pentadbiran kekal dan pelantikan pengelola atau ketua operator yang dibuat melalui kaedah 'request for proposal' berdasarkan terma rujukan dan prosedur operasi standard yang sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini kerajaan mewujudkan Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2 Jalan Sultan Ismail, yang hanya menyediakan kemudahan tandas dan bilik air, bilik solat serta tempat pengedaran makanan percuma kepada golongan itu. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.