KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun terdapat kritikan berhubung keputusan mahkamah membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah, beliau tetap mempertahankan Guan Eng.

Katanya, ada sebab mengapa beliau  mempertahankan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Ada kritikan tetapi seperti yang anda ketahui kerajaan sebelum ini telah memangsakan semua pembangkang (pada masa itu).

"Ada ramai orang buat seperti apa yang dilakukan Guan Eng tapi mereka tidak dipilih.

"Mereka pilih Guan Eng untuk tujuan tertentu, untuk menyingkirkannya," katanya kepada pemberita selepas ucaptama pada Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (Cepsi) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Guan Eng, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang  mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili  Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah ]

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lahirkan rasa terkejut dengan keputusan tersebut, yang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo.

Dalam kenyataannya SPRM sekali lagi menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada suruhanjaya itu.

Mengulas lanjut, tentang kritikan ramai pihak yang menyamakan kes Guan Eng dengan kes melibatkan bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo pada 2015 Dr Mahathir berkata mereka berdua tidak sama.