KUALA LUMPUR - Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan kompleks kuil Batu Caves, Selangor memeriahkan lagi perayaan Deepavali yang disambut hari ini.

Sejurus tiba kira-kira  10.30 pagi dengan mengenakan kurta berwarna krim, Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional disambut Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti.

Beliau kemudiannya melawat kolam khas (hiasan beras berwarna-warni) “Negaraku” sebelum diarak ke pentas bersama tetamu kehormat lain dan ribuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC itu.

Alunan muzik, paluan gendang, tiupan seruling, tarian tradisional memeriahkan majlis yang turut dihadiri  Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Sambutan dimulakan dengan tarian klasik India dan pelbagai persembahan nyanyian ketika hadirin menikmati aneka hidangan seperti tosai, masala ayam, nasi beriani dan pelbagai juadah masyarakat India.

Cuaca panas tidak menghalang ribuan hadirin dari dalam dan luar negara  melawat sekitar kawasan Kuil Batu Caves termasuk patung gergasi Dewa Murugan sambil berswafoto.

Najib kemudian memotong kek sebelum beredar ke rumah terbuka Deepavali anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia di Pusat Konvensyen HGH, Sentul, di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyertai kemeriahan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Parti Progresif Penduduk Malaysia (MyPPP) di Little India, Brickfields di sini.

Beliau yang diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tiba di majlis itu pada 11.45 pagi disambut Presiden MyPPP Tan Sri M.Kayveas.

Sejurus tiba, Perdana Menteri dibawa ke pentas dan dikalungkan bunga malai sebelum memotong kek dan kemudian dibawa menikmati hidangan antaranya nasi daun pisang, putu mayam dan kek.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung pelbagai kaum selain pelancong asing yang mengambil kesempatan menikmati pelbagai hidangan yang sinonim dengan masyarakat India termasuk wade, popadom, payasam dan rasam.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam di majlis itu sebelum beredar untuk ke program lain. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai koleksi swafoto baru kini apabila sempat berswafoto dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
  • KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini untuk menghadiri beberapa acara di bandar raya ini bermula esok dan Rabu.
  • PEKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas T1M atau Transformasi 1Malaysia, diilhamkan daripada aspirasi Nasional 2015 yang diperkenalkan beliau.
  • PENAMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan penghargaannya kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan atas sumbangan besar beliau (Pairin) dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) membangunkan Sabah dan negara ini.
  • PENAMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji beliau akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah bagi memastikan negeri ini terus maju setanding negeri-negeri lain di Malaysia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.