KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak sembah tahniah kepada Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah atas pengisytiharan baginda sebagai Sultan Kedah yang baharu hari ini.

Tunku Sallehuddin, 75, dimasyhurkan sebagai  Sultan Kedah yang ke-29 bagi menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 89, yang mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang semalam.

“Semoga Kedah Darul Aman semakin maju serta dilimpahi rahmat ALLAH SWT. Daulat Tuanku,” kata Najib melalui catatan di Twitter dan Facebook beliau hari ini.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, kini berada di Washington untuk lawatan kerja tiga hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump di White House pada Selasa.

Pemasyhuran Tunku Sallehuddin sebagai Sultan Kedah baharu dibacakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Tunku Sallehuddin, yang merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, diputerakan pada 30 April 1942 dan menerima pendidikan tinggi di College of Military Engineering Poona di India.

Sebelum ini, baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 15 Disember 2016.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum itu, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar akibat kegeringan.

Almarhum Sultan Abdul Halim, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar kira-kira 4 petang tadi.

Almarhum mencatatkan sejarah menjadi Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal iaitu kali pertama, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (21 September 1970 - 20 September 1975) dan yang ke-14 (13 Disember 2011-13 Disember 2016). – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah mendahului senarai 103 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
  • BALING - Memeluk Islam di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sekitar 1986 adalah kenangan terindah buat 50 keluarga Orang Asli Ken Sieu dari Kampung Lubuk Legong, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang akan mengingati Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Muadzam Shah kerana baginda dua kali dinobat sebagai Yang Di-Pertuan Agong.
  • ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang rapat dengan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, kerana saling mengenali sejak dibangku persekolahan.