• PM, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada majlis pecah tanah dan pelancaran PPA1M di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausa PM, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada majlis pecah tanah dan pelancaran PPA1M di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Setiausa
1 /

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan fasa pertama Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Putrajaya yang membabitkan pembinaan 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11 di sini.
    
Program PPA1M Putrajaya bakal menawarkan lebih 10,336 unit kediaman berkualiti dan mampu milik khusus buat penjawat awam yang tinggal di kawasan pusat pentadbiran negara itu.
    
Najib berkata sebagai sebuah pentadbiran yang prihatin dengan kehendak orang ramai, kerajaan bergerak seiring dengan denyut nadi rakyat dalam memahami segala keperluan mereka, dan di Putrajaya yang majoriti penduduk ialah penjawat awam, soal kediaman selesa yang mampu milik, sentiasa menjadi perhatian ramai.
    
Beliau berkata unit kediaman yang dilancarkan hari ini akan mengambil masa kira-kira 18 bulan sahaja untuk disiapkan pembinaannya, dan keistimewaannya ialah pembeli tidak perlu membayar bayaran kemajuan, sebaliknya hanya RM2,000 sebagai bayaran minimum permulaan, dan ansuran seterusnya dibayar sebaik sahaja unit kediaman itu diserahkan kepada mereka.
    
"Mana ada kerajaan negara lain yang buat macam ini," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran PPA1M Putrajaya, sejurus selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu di Presint 17.
   
PPA1M merupakan inisiatif kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik khusus buat penjawat awam di bandar-bandar utama seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu.
    
Najib berkata produk kreatif 1Malaysia yang dilancarkan hari ini tampil dalam bentuk perumahan awam dengan keluasan lantai minimum antara 1,000 dan 1,500 kaki persegi dengan harga antara RM150,000 dan RM300,000.
    
Beliau berkata fasa pertama 1,256 unit rumah di Presint 11 dan 256 unit di Presint 17 dilaksanakan secara projek perkongsian awam-swasta, iaitu antara SP Setia Bhd dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Putrajaya Holdings, dengan subsidi diberikan kerajaan dalam bentuk penyediaan tanah dan suntikan dana modal.
    
"Ini bermakna kira-kira 10 peratus kos pembinaan rumah itu ialah daripada suntikan modal kerajaan supaya harga itu nanti dapat kita kurangkan, kalau tidak ada sumbangan dana modal daripada kerajaan, harganya boleh jadi tidak kurang setengah juta ringgit," katanya.
    
Perdana menteri berkata keutamaan diberikan kepada keluarga dengan pendapatan isi rumah tidak lebih RM8,000, ditawarkan kepada pemastautin Putrajaya dari kalangan anggota perkhidmatan awam dan badan-badan berkanun persekutuan.
   
Sementara itu, Presiden PPj Tan Sri Aseh Che Mat dalam kenyataan yang diedar pada majlis itu berkata mereka yang berminat membeli unit rumah berkenaan boleh mengisi borang PPA1M-1 yang dimuat turun daripada laman web Perbadanan Putrajaya www.ppj.gov.my atau mangambilnya di kaunter PPj.
    
Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke kaunter PPA1M di kompleks PPj, sebelum 9 Mei. - Bernama