KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan mengumumkan kadar gaji minimum, yang dinanti-nantikan sejak tahun lalu, pada majlis sambutan Hari Pekerja Mei ini.

"Nantilah, saya umum... tengok Hari Pekerja," kata beliau hari ini.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, takrif berbeza diberikan oleh pihak majikan dan pekerja mengenai apa yang dimaksudkan dengan gaji minimum.

Pihak majikan mentakrifkannya gaji bulanan yang termasuk gaji pokok, elaun sara hidup (COLA) dan bayaran kerja lebih masa.

Bagaimanapun, interpretasi pihak pekerja pula mengenai gaji minumum bermakna hanya gaji asas tidak termasuk elaun-elaun lain yang diterima.

Pada pandangan pihak majikan, sekiranya gaji minimum ialah RM1,000, dengan itu gaji yang dibawa pulang oleh pekerja sepatutnya RM1,000, ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala pekerja menjangkakan membawa pulang gaji bersih sekurang-kurangnya RM1,300, oleh kerana RM300 itu adalah elaun termasuk bayaran lebih masa jika ada.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Khalid Atan, memberitahu Bernama hari ini, sangatlah mustahak kerajaan memberi penjelasan mengenai perkara ini apabila mengumumkan dasar berkenaan nanti.

Khalid berkata, masih lagi terdapat banyak salah faham mengenai isu gaji minimum ini.

Khalid berharap kerajaan akan meluluskan minimum RM1,000 dengan bayaran COLA RM300.

Beliau berkata dasar berkenaan tidak akan membabitkan pekerja sedia ada yang sudahpun memperoleh pendapatan melebihi jumlah tersebut, Ia akan hanya membabitkan pekerja baru dan mereka yang mendapat gaji kurang daripada gaji minimum yang dicadangkan.

MTUC sudah memperjuangkan gaji asas ini sejak 1990.

Sementara itu naib presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata gaji minimum pengawal keselamatan masih lagi belum dipatuhi sepenuhnya oleh industri berkenaan.

Walaupun kerajaan telah meluluskan paras gaji minimum mereka mulai 15 Februari tahun lepas antara RM500 ke RM700 bergantung pada lokasi, golongan pekerja berkenaan masih lagi belum dibayar jumlah berkenaan, katanya.

Beliau menggesa Jabatan Tenaga Kerja meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengawal keselamatan dibayar gaji sepatutnya oleh pihak majikan mereka. - Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 1 September, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman mengumumkan malam ini.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Sabah dan Sarawak boleh diundang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi menasihati apa-apa perkara yang dibincangkan meskipun tidak disenaraikan dalam anggota jawatankuasa itu.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) akan melaksanakan program tuisyen berpusat dan tuisyen dalam talian untuk anak-anak tentera dan veteran tentera.
  • KUALA LUMPUR - Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN) menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pengendali akaun Facebook 'Sarawak Independence Alliance' yang didakwa menghasut orang awam menyokong usaha membawa Sarawak keluar dari Malaysia.
  • KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap mengambil tindakan proaktif memerangi kumpulan militan Daesh di negara ini walaupun gerakan pengganas itu dilihat semakin lemah susulan kematian ketua militannya di Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, April lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.