SIBU - Jumaat ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri dua majlis yang dianjurkan oleh komuniti Cina tempatan. 

Menurut Datuk Lau Nai Ho, Pengerusi Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu, Najib akan merasmikan Kampung Budaya Mini 1Malaysia berdekatan Taman Jubilee Bukit Aup pada 9 malam.
 
Kampung itu adalah projek persendirian ahli perniagaan Ying Tieng Chai untuk memulihara dan mengetengahkan pelbagai budaya serta tradisi pelbagai etnik Cina di negeri ini.
 
Ia akan menjadi sebahagian daripada tarikan yang akan ditawarkan oleh Sibu kepada pengunjung dan pelancong.
 
Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Lau berkata Najib akan turut melancarkan tema 1Malaysia 1UCA di venue yang sama.
 
UCA adalah persekutuan yang menggabungkan tujuh persatuan Cina di Sibu manakala 1Malaysia 1UCA adalah tema baru yang diterapkan untuk menggambarkan kepentingan dalam bersatu padu dan mewakili pelbagai persatuan.
 
Lau berkata memorandum mengandungi masalah yang mendepani komuniti Cina di negeri ini akan turut diserahkan kepada Najib oleh Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sarawak Wong Aik Long selepas majlis itu.
 
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan Anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King.
 
Sementara itu, dalam program berasingan pada hari yang sama, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri majlis bertemu rakyat di SJK (Cina) Tong Ah di Selangau dekat sini pada 3.30 petang.
 
Menurut kenyataan Jabatan Penerangan Negeri, lawatan itu sebahagian daripada aturcara Muhyiddin ke pedalaman Bintulu dan Miri, pada hari berikutnya. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.