SHAH ALAM - PKR membantah tindakan kerajaan menghapuskan subsidi bagi petrol RON95 dan diesel bermula 1 Disember ini.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli mendakwa, dengan penghapusan subsidi petrol dan diesel, keseluruhan kekayaan hasil minyak dan gas dibolot sepenuhnya oleh kerajaan.

“Melalui kaedah subsidi petrol dan diesel yang diguna pakai selama berpuluh tahun, sebahagian daripada kekayaan itu dikongsi terus dengan rakyat tanpa perlu menunggu peruntukan yang diputuskan oleh kerajaan.

“Penghapusan subsidi ini bermakna kekayaan hasil minyak dan gas dipusatkan sepenuhnya bagi membiayai segala pembaziran dan rasuah yang kian berlaku dalam pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, untuk berlaku adil kepada rakyat, kerajaan seharusnya membatalkan hasrat menetapkan harga petrol dan diesel melalui sistem apungan harga terkawal.

“Kerajaan sebaliknya perlu membenarkan syarikat-syarikat minyak menetapkan harga petrol RON95 dan diesel masing-masing tertakluk kepada harga siling.

“Dengan cara ini, rakyat akan dapat memilih untuk beli minyak pada harga paling rendah, bukannya yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Menurutnya, cara ini juga dapat beri insentif kepada syarikat-syarikat minyak supaya lebih cekap dan tidak hanya bergantung kepada perlindungan kerajaan melalui harga seragam seperti yang berlaku sekarang.