SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Menteri menegaskan pindaan RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 2016 tiada kaitan dengan hudud ‎seperti yang digembar-gemburkan.

‎Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jenayah melibatkan hudud seperti rogol atau rompak bukan di bawah kuasa mahkamah syariah.

"Pindaan ini‎ untuk meningkatkan kuasa mahkamah syariah. I‎ni bukan soal hudud.‎ Rompak, rogol itu melibatkan mahkamah sivil. Bukan mahkamah syariah.

"‎Timbul persepsi pindaan itu diolah seakan-akan kita nak ambil hak orang lain, keluar dari mahkamah syariah. Pindaan ini tak timbul soal kita nak ambil hak orang lain," katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar ke-41, Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menepis dakwaan pembangkang yang kononnya pindaan RUU 355 itu sebagai usaha pintu belakang untuk pelaksanaan hudud.

“Tadi YB Tan Seng Giaw (DAP) tanya, adakah ini usaha pintu belakang untuk laksana hudud? Jawapannya tidak.

“Ini bukan pintu belakang hudud tapi pintu 355 yang dibawa ikut pintu depan. Tiada agenda tersembunyi,” katanya.

Mengambil beberapa contoh denda yang dikenakan terhadap jenayah di bawah mahkamah syariah, beliau menyifatkan denda-denda itu perlu ditingkatkan.

“Bayangkan, bawa lari anak orang tapi kena denda RM1,000‎ saja. Mak ayah besarkan anak, kena bawa lari tapi denda hanya RM1,000. Suami dera isteri, suami tak bayar nafkah denda hanya RM1,000.

“Jadi, adakah had RM1,000 itu memadai? Sebab itu denda itu perlu ditingkatkan,” katanya.