SHAH ALAM - Dewan Negara hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Bantuan Guaman (Pindaan) 2017.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said berkata, Rang Undang-Undang ini adalah komitmen kerajaan dalam membantu meringankan beban kumpulan sasar yang memerlukan.

"Pindaan ini juga bagi memastikan kelestarian Jabatan Bantuan Guaman (JBG) dan perkhidmatan yang diberikan memberi impak kepada masyarakat untuk mendapatkan akses keadilan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata,antara perkara yang dipinda adalah yang pertama takrif ‘bantuan guaman’ untuk memperjelaskan bentuk guaman yang diberikan oleh JBG.

"Pindaan kedua adalah untuk menghadkan bantuan guaman hanya kepada warganegara.

"Pindaan ketiga adalah untuk menambah baik ujian kemampuan yang diguna pakai pada masa ini supaya ia selaras dengan dasar semasa kerajaan dalam memastikan bantuan guaman hanya diperuntukkan kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak," katanya.

Katanya lagi, sementara itu, pindaan yang keempat adalah menstruktur semula peruntukan mengenai fi pendaftaran.

"Manakala, pindaan kelima adalah memperkenalkan konsep ‘pendamping guaman’ kepada mangsa kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak dan masih seorang kanak-kanak semasa prosiding dijalankan di mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Azalina turut  mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekaligus meluluskan Rang Undang-Undang ini.

Rang Undang-Undang ini akan diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan mengarahkan AmanahRaya Berhad (AmanahRaya) untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (PATC 1995) secepat mungkin.
  • KOTA TINGGI - Warga Felda diminta tidak mudah percaya dengan hasutan pembangkang dalam isu penukaran hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
  • KUALA LUMPUR - Pindaan terhadap Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dibuat kerana kerajaan melihat kepada maslahat umum atau kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
  • PUTRAJAYA - Malaysia akan mengkaji kemungkinan menganggotai Konvensyen Budapest bagi memerangai jenayah siber, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
  • KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Perundingan Khas kini dalam proses memuktamadkan laporan ‘focus group discussion’ yang diadakan pada 24 Oktober lepas bagi menyediakan butiran cadangan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976.