KUALA LUMPUR - Mereka terlibat dengan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu mengelak daripada mengeluarkankan kenyataan umum mengenai status siasatan itu, kata Jawatankuasa Siasatan 1MDB Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, yang mengetuai jawatankuasa itu berkata, kenyataan umum sepatutnya dibuat kemudian agar ia tidak menjejaskan serta menimbulkan prejudis terhadap siasatan dan mengganggu prosiding mahkamah pada masa akan datang.

“Kurangkan bercakap, lebihkan bekerja. Itulah pandangan saya,” katanya di luar mesyuarat CEP di Menara Ilham di sini, hari ini.

Antara menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros; CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood; Pengarah Unit Strategi Kebangsaan Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan CEO SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim.

Ditanya sama ada tugas jawatankuasa itu dan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan bertindih, Abu Talib berkata, jawatankuasa itu menyelaras fungsi agensi berkenaan bagi mengelak berlaku sebarang pertindihan tugas dan kekeliruan.

Pasukan petugas itu turut dianggotai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, Datuk Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan 1MDB CEP ditugaskan untuk menyelaras siasatan merentasi sektor bagi memastikan undang-undang diguna pakai secara adil dan saksama serta memberi nasihat sewajarnya kepada majlis itu.

Diketuai Abu Talib, jawatankuasa itu turut dianggotai rakan kongsi PwC Risk Assurance Services, Nik Shahrizal Sulaiman; rakan kongsi kanan Naqiz & Partners, Syed Naqiz Shahabuddin Syed Abdul Jabbar; Penasihat Kanan Financial Services Authority Indonesia, Faris Rabidin dan Pengasas Pusat Bagi Menangani Rasuah dan Kronisme Cynthia Gabriel. - Bernama