MELAKA - Satu piawaian untuk menaik taraf terminal pengangkutan awam di seluruh negara sedang dirangka bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam selain menggalakkan orang ramai menggunakannya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, piawaian menaik taraf terminal pengangkutan awam yang dibangunkan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu meliputi pelbagai aspek termasuk kemudahan, keselamatan dan keselesaan penumpang.

“Kerajaan Persekutuan sedang menyediakan satu piawaian menaik taraf terminal pengangkutan awam supaya kualitinya setanding dengan lapangan terbang atau Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di Kuala Lumpur.

“Bagi penjualan tiket, kita akan memperkenalkan sistem tiket berpusat kepada terminal bas yang terlibat sekali gus ianya dapat mengatasi masalah ulat tiket,” katanya pada sidang media selepas melawat Melaka Sentral di sini, semalam.

Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab dan Pengurus Besar Melaka Sentral Md Yusof Abdullah. Anthony berkata, piawaian untuk menaik taraf terminal pengangkutan awam itu akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada keupayaan kewangan sesebuah negeri.

“Kita tidak boleh mendesak semua negeri melaksanakan piawaian ini serta-merta, namun setakat ini hanya beberapa buah negeri yang mempunyai keupayaan kewangan untuk menaik taraf mengikut piawaian itu termasuk Pulau Pinang, Perak dan Melaka,” katanya.

Ditanya mengenai Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperkenalkan rebat caj penumpang penerbangan selama lima tahun kepada syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam, beliau berkata insentif itu wajar disalurkan kepada pengguna bagi menggalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di Melaka.

“Kita harap semua syarikat pengendali penerbangan akan memberi kerjasama mencari langkah-langkah yang lebih kreatif untuk menambah operasi dan memastikan lebih banyak perkhidmatan diperkenalkan kepada orang ramai,” katanya.

Ketua Menteri Adly Zahari hari ini mengumumkan MAHB akan memberikan rebat RM50 bagi caj penumpang penerbangan antarabangsa luar ASEAN, yang pada masa ini dikenakan sebanyak RM73, manakala bagi penerbangan dalam ASEAN caj penumpang penerbangan diberikan rebat RM20 daripada jumlah RM35 yang dikenakan sebelum ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: MAHB turun caj penumpang ]