PUTRAJAYA - Satu piawaian seragam berkenaan durian akan diwujudkan bagi memastikan ketulenan dan kualiti raja buah itu sentiasa berada di tahap terbaik seperti sepatutnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, piawaian yang akan diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia itu antara lain bertujuan mengelak pembeli daripada tertipu dengan jenis buah dan harga yang diletakkan penjual.

Ketika ini, katanya, penjual dan pembekal 'bebas' menamakan jenis buah dan harga kerana tiada pihak yang berperanan mengesahkan perkara itu, kecuali durian yang di bawah pengurusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata, pembeli mengadu mereka sering tertipu dengan taktik penjual yang meletakkan label jenis durian yang mendapat permintaan tinggi dan mahal seperti D24 atau Musang King untuk meraih keuntungan.

"Sekarang tiada siapa yang bertindak mengesahkan sama ada ia durian Musang King, D24 atau apa saja. Tujuan  mewujudkan satu standard atau piawaian khusus memastikan setiap durian yang dilabelkan adalah durian yang betul,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama usahawan durian di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha yang turut membabitkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu juga menyasarkan untuk mewujudkan ‘bar code’, antara lain mengandungi maklumat berkenaan jenis dan tempat buah itu diambil.

"Atas sebab itu, kita tidak berhasrat menetapkan harga siling durian setakat ini walaupun terdapat cadangan mengenainya oleh beberapa pihak," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, kementerian itu akan menganjurkan Durian Festival Nanning pada Oktober sebagai antara usaha mengembangkan potensi ekonomi produk tersebut ke China.

Beliau berkata, kebenaran untuk memperkenalkan produk berasaskan durian ke China merupakan langkah berstrategi kementerian ke arah mendapat kebenaran mengeksport buah durian ke negara itu.

Katanya ekoran kawalan ketat kerajaan China berkenaan keselamatan makanan melalui Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin (AQSIQ) yang melarang durian dibawa masuk secara terus, hanya pulpa dan pes durian sahaja dibenarkan dieksport ke China.

Sebanyak 250 produk daripada 50 pengusaha akan dipamerkan pada pameran melibatkan sehingga 20 'booth', satu pameran bersejarah yang akan memacu industri durian negara ke peringkat lebih tinggi, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOPENG - Kerajaan tidak boleh mengawal harga durian di pasaran kerana ia bergantung kepada permintaan daripada pembeli, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
  • BENTONG - Penjualan durian berasaskan timbang bersama biji dan kulit akan dipertimbangkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, memandangkan terdapat beberapa pihak yang mahu ia dikaji semula.
  • ALOR SETAR - Para petani diminta memanfaatkan peluang untuk menanam klon durian bermutu tinggi seperti durian "Duri Hitam" dan "Musang King" dalam meningkatkan taraf eknomi mereka pada masa hadapan.
  • SEREMBAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan dan Plus Malaysia Berhad (Plus) akan mengadakan 'Pesta Durian Merdeka Plus' dan jualan buah-buahan tempatan di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah selatan selama dua hari bermula esok.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.