KUALA LUMPUR - Penetapan kuasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pengiktirafan kedudukan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetap terjamin dan dipertahankan kerajaan PH.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peruntukan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain yang telah diperuntukkan secara jelas di bawah Fasa (1) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menetapkan ia menjadi tanggungjawab Yang diPertuan Agong (YDPA) untuk melindungi kedudukan istimewa tersebut.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, YDPA diberi kuasa untuk melindungi tiga bidang yang menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan anak negeri di Sabah dan Sarawak iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan.

“YDPA atas nasihat jemaah menteri berhak untuk menentukan perizaban apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah bagi jawatan dalam sektor awam, pemberian biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan seumpamanya atau kemudahan khas serta pemberian permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang2 persekutuan bagi mengendalikan apa-apa perdagangan atau perniagaan bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Shamsul Anuar Nasaran (BN-Lenggong) di Dewan Rakyat.

Menyentuh mengenai bahasa Melayu, beliau berkata, kerajaan telah mewujudkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 iaitu Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam bagi memastikan bahasa Melayu terus kekal diperkasa sebagai bahasa kebangsaan.

“Ia terpakai kepada semua agensi perkhidmatan awam serta semua perkhidmatan awam negeri, badan berkanun persekutuan, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Berdasarkan pekeliling tersebut, penggunaan bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi oleh kerajaan Persekutuan dan kerjaan negeri diperuntukkan selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menjelaskan sebarang cadangan pindaan yang menyentuh hak dan keistimewaan yang diperuntukan di bawah Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tersebut, jelas bahawa kerajaan hari ini menjamin serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.