SHAH ALAM - Petisyen mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri kini telah ditandatangani lebih 120, O00 orang setakat jam 9.30 malam ini.

Digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menerusi tandatangan di atas talian Change.org semalam, petisyen itu dilancarkan mereka atas beberapa faktor.

Menurut GPS, antara sebabnya ialah tindakan Moorthy yang telah memburukkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa dengan menyebarkan fitnah bahawa kononnya rakyat Malaysia yang beragama Hindu telah di diskriminasi.

"Antara lain berkeras mahu meratifikasikan ICERD; gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri; mempunyai latar belakang yang agak kontroversial," petik kenyataan itu.

Sementara itu, GPS dalam kenyataan di Facebook mereka hari ini mensasarkan untuk mencapai 300,000 tandatangan.

“Ayuh terus tularkan petisyen ini sehingga beliau tumbang. Tiada kemaafan kepada beliau sehingga beliau dipecat dan dibuang kerakyatan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dr Maza label Moorthy pengkhianat negara]

[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 10k 'sign' petisyen desak Moorthy letak jawatan]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Itu kisah lama, Moorthy']