SINGAPURA – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura yang baharu Datuk  Zainol Rahim  Zainuddin menyerahkan tauliah pelantikannya kepada Presiden Singapura Halimah Yacob di Istana hari ini, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu.

Zainol Rahim memulakan perkhidmatannya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1989.

Beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi sejak 2015 sebelum pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke republik itu menggantikan Ilango Karuppannan.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Malaysia di Moscow, Rusia dari tahun 1993 hingga 1996, Setiausaha Pertama di Kedutaan Malaysia di Tashkent, Uzbekistan dari tahun 1996 hingga 1999 dan Penolong Setiausaha (Perancangan Dasar), Kementerian Luar Negeri dari tahun 1999 hingga 2001.

Zainol Rahim juga  pernah berkhidmat sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari tahun 2001 hingga 2004, Penasihat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India dari tahun 2004 hingga 2006 dan Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat dari tahun 2006 hingga 2009.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya dari tahun 2009 hingga 2011 dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan dan Penyelarasan Dasar dari tahun 2011 hingga 2015. - Bernama