• Bajet 2013 Bajet 2013
1 /

KUALA LUMPUR - Pemberian bonus sebanyak RM500 dan kenaikan kadar pencen minimum untuk pesara kerajaan, yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun, daripada RM720 kepada RM820 dalam Belanjawan 2013, membuktikan kerajaan tidak melupai jasa mereka.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan The berkata, buktinya, saban tahun kerajaan prihatin dengan sentiasa memberi habuan kepada pesara, sama seperti penjawat awam lain.

"Kesemua pesara amat menghargai pemberian kerajaan dan akan berusaha menggunakan wang itu secara berhemah," katanya ketika mengulas Belanjawan 2013 bertema 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat petang tadi.

Wan Mahmood berkata pemberian itu juga begitu berharga untuk pesara kerajaan yang hidup pada paras kemiskinan.

"Janganlah berbelanja sewenang-wenangnya," nasihat beliau kepada 50,371 pesara kerajaan.

Mengulas pengurangan bayaran pemprosesan pasport daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh lima tahun kepada warga emas, atau dikurangkan kepada RM80 untuk tempoh dua tahun, beliau berkata langkah itu akan menggalakkan pesara kerajaan melancong ke luar negara.

"Lawatan sambil belajar ke luar negara boleh memperkayakan pengalaman untuk faedah hidup rakyat dan negara," katanya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman pula berterima kasih kepada kerajaan kerana menghargai jasa bekas penjawat awam dengan menaikkan kadar pencen minimum selain pemberian bonus kepada golongan itu.

"Bagaimanapun, kita berharap akan terus ada penambahbaikan dalam skim pencen untuk pesara dari semasa ke semasa," katanya.

Di ALOR SETAR, Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia Kedah Datuk Harun Hashim berkata, pelarasan pencen itu menunjukkan kerajaan menyanjung budi golongan pesara.

"Dengan kenaikan kadar pencen ini, ia dapat membantu meringankan beban pesara, terutama yang tidak ada punca pendapatan lain selain pencen.

"Kami berharap kerajaan akan terus prihatin dan mengambil kira jasa yang telah disumbangkan oleh golongan pesara ketika kami berkhidmat dengan kerajaan dahulu," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Harun berkata pihaknya sangat menghargai pemberian bonus sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. - Bernama