KOTA BELUD - Peruntukan besar yang diberikan kepada Sabah dalam Bajet 2018 adalah bukti keprihatinan kerajaan Persekutuan meneruskan aspirasi untuk membangunkan negeri ini bagi memastikan kemajuannya seiring dengan negeri-negeri lain.

Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM4.533 bilion itu menunjukkan kesungguhan kerajaan BN membangunkan ekonomi negeri ini demi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Begitulah aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan negeri (Sabah) terus maju dan membangun selain memastikan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat diberikan keutamaan.

"Pada saya, bajet ini amat komprehensif kerana bukan sahaja memberi keutamaan kepada pembangunan prasarana tetapi juga memperkasa pembangunan modal insan," katanya semasa berucap merasmikan Tamu Besar Kota Belud 2017 di Tapak Tamu Mingguan di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli yang juga Adun Tempasuk dan Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Gari Itam.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata Tamu Besar Kota Belud merupakan platform untuk para peniaga tempatan memasarkan produk mereka selain medan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di daerah itu.

"Inilah peluang untuk masyarakat Kota Belud mempromosikan barangan tempatan yang sememangnya terkenal dan kaya dengan hasil pertanian penternakan dan perikanan," katanya.

Namun, beliau mengingatkan peniaga supaya menitikberatkan kualiti bagi membolehkan produk tempatan mempunyai nilai komersil dan mampu memenuhi keperluan pasaran sekali gus menggambarkan identiti dan keunikan masyarakat di Kota Belud.

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berharap Tamu Besar, yang kini antara acara tahunan pelancongan Sabah, terus dipromosikan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Tamu Besar Kota Belud 2017 disambut penuh meriah dengan pelbagai program menarik termasuk acara berbasikal dan larian disertai kira-kira 400 peserta selain  pertandingan perarakan semalam. - Bernama