SHAH ALAM - Hasrat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu melaksanakan perubahan dalam pendidikan negara dilihat realistik untuk direalisasikan dalam tempoh lima tahun ini.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yakin semua perkara itu boleh dilaksanakan secara berperingkat mengikut tempoh masa tertentu dengan kerjasama semua pihak.

Ia kerana, katanya, kebanyakan hasrat yang dinyatakan Maszlee itu pernah disuarakan majlis itu sebelum peralihan kerajaan lagi dan ia tiada masalah untuk dilaksanakan.

"Pada masa lalu, kita sudah pun suarakan perkara-perkara itu supaya kementerian meneliti dan mengkaji semua yang dibangkitkan menteri antaranya tentang kajian menyeluruh dasar pendidikan negara dan pelaksanaannya, serta hal berkaitan memperkasakan sekolah kebangsaan.

"Selain itu, kemahiran menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan. Walau apa pun, jangan sampai dilupakan jati diri Malaysia," katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas tentang hasrat Maszlee untuk melakukan perubahan dalam pendidikan negara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tugas berat Menteri Pendidikan]

Semalam, Maszlee dalam program Bicara Minda, Malaysia Baharu & Pendidikan anjuran Sinar Harian menyatakan hasratnya melaksanakan beberapa perkara antaranya memperkasakan sekolah kebangsaan dan pendidikan khas, memastikan murid tidak lagi menggalas beg berat, meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka serta menjanjikan kebebasan bersuara kepada pelajar dengan mewujudkan semula sudut pidato.

Selain itu, Maszlee juga menyatakan komitmennya menyelesaikan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, pemakaian kasut hitam oleh pelajar, pelajar boleh menguasai lebih tiga bahasa, mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian dan memberi kuasa autonomi kepada institusi pengajian tinggi.

Mohamad Ali berkata, semua itu merupakan langkah yang wajar diambil kementerian dan pihaknya berharap ibu bapa atau penjaga pelajar dapat memberikan maklum balas.

"Mungkin ada antara perkara itu ada yang dilaksanakan segera seperti pemakaian kasut hitam, dan ada yang ambil masa jangka pendek, satu tahun atau lima tahun untuk memastikan dasar kebangsaan diperkukuhkan lagi.

"Selain itu, yang perlu dilaksanakan segera adalah memperkasakan sekolah kebangsaan secara keseluruhannya sebagai sistem sekolah nombor satu negara. Ini penting kerana ia memupuk perpaduan bangsa, bahasa dan juga identiti kita yang menjadi kecintaan kepada negara bangsa," katanya.