WASHINGTON, DC - AMERIKA SYARIKAT. Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perbincangan beliau dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa  sebagai 'pertemuan yang positif dan mesra'.

Kedua-dua pemimpin dilihat gembira berjabat tangan beberapa kali dan memaut lengan masing-masing semasa berjalan masuk dan keluar bilik mesyuarat West Wing.

"Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun lepas, kami bermain golf satu pasukan. Ia pertemuan yang berjaya bagi kami kerana pasukan kami menang.

"Dan perbincangan kami tadi banyak tertumpu kepada  bagaimana kedua-dua negara boleh terus berjaya dengan bekerjasama erat, “ katanya pada jamuan malam Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN dan Dewan Perniagaan Amerika di Hotel St Regis di sini.

Najib tiba di Rumah Putih pada pukul 11.45 pagi dan disambut Presiden Trump di pintu masuk West Wing.

Najib dan  Trump mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri-menteri dan pegawai kanan masing-masing sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval.

Kunjungan Najib ke Rumah Putih atas jemputan Presiden Trump, berlangsung lebih sejam.

Pegawai yang berada di Rumah Putih berkata, Trump mengiringi Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya menghantar pemimpin berkunjung  ke pejabat beliau, setakat di lantai utama.

"Trump diingatkan oleh seorang daripada pegawainya mengenai perkara itu tetapi beliau memberitahu pegawai itu yang beliau akan mengiringi PM Najib hingga ke tingkat bawah untuk mengucapkan selamat jalan.

"Trump berkata beliau (Najib) sahabat saya," menurut pegawai itu.

Pada majlis jamuan itu, perdana menteri berkata tahun  lepas  perdagangan antara Malaysia dan Amerika berjumlah hampir US$33 bilion.

"Kita perlu  mengembalikan tahap interaksi kerana terdapat peluang besar bagi kedua-dua negara untuk  meneroka lebih luas dan meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat,” katanya.

Najib berkata, tahun lepas sahaja, syarikat-syarikat Amerika membawa masuk RM5 bilion, atau lebih daripada US$1 bilion, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Amerika merupakan pelabur asing kelima terbesar di negara ini dengan jumlah saham FDI bernilai RM36 bilion atau US$8.5 bilion.

Hadir sama Presiden dan CEO Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN Alexander Feldman, Naib Presiden Kanan Dewan Perniagaan Amerika sektor Asia, Tami Overby dan Duta Amerika di Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Walaupun pelbagai tarikh telah dikaitkan dengannya, Datuk Seri Najib Tun Razak masih enggan memberi sebarang petunjuk bila pilihan raya ke-14 akan diadakan.
  • WASHINGTON DC - AMERIKA SYARIKAT. Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa memberitahu komuniti perniagaan Amerika Syarikat (AS) bahawa terdapat kempen untuk sengaja mensabotaj 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melemahkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
  • WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.
  • WASHINGTON DC - AMERIKA SYARIKAT. Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia di luar negara tidak terpedaya dakyah kononnya Malaysia negara gagal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.