KUALA LUMPUR - Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan 2018, dilancarkan hari ini bersempena Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia.

Dalam kenyataan hari ini, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) berkata pertandingan edisi keempat itu terbuka kepada mereka yang berusia antara 16 dan 30 tahun serta menetap di Malaysia, bertujuan untuk menggalakkan golongan muda mempromosikan undang-undang dan prinsip kemanusiaan.

“Ia juga bertujuan untuk membincangkan cabaran-cabaran kemanusiaan dunia hari ini dan menonjolkan kisah kemanusiaan dari seluruh dunia,” katanya.

Tarikh tutup pertandingan anjuran ICRC dan Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC), dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) itu adalah pada 31 Oktober depan.

“Kami telah bekerjasama selama empat tahun dan gembira dengan kesedaran mengenai peraduan ini yang semakin meningkat,” kata Presiden NPC, Datuk Mokhtar Hussain.

Beliau turut berharap lebih ramai wartawan muda yang akan menulis mengenai isu-isu kemanusiaan dan mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Pertandingan pada kali ini agak berbeza apabila kategori bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia untuk wartawan telah digabungkan bagi membolehkan tawaran hadiah yang lebih menarik.

“Matlamat pertandingan ini adalah untuk menggalakkan kesedaran yang lebih besar mengenai isu-isu kemanusiaan yang semakin mendesak dan memberi perhatian kepada hasil penulisan golongan muda,” kata Isabelle Barras, ketua delegasi serantau ICRC di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Setiausaha PBSM Datuk Sayed A Rahman Sayed Mohd menggalakkan golongan belia, terutama sukarelawan PBSM, untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

“PBSM meraikan ulang tahun ke-70 tahun ini dan pertandingan itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang dirancang untuk menonjolkan kerja dan visi Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyeru penyertaan lebih ramai orang awam dalam kerja-kerja kemanusiaan, terutamanya secara sukarela dengan berbagai organisasi.- Bernama