• Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)
1 /

KUALA LUMPUR - Perodua, pengeluar kereta kedua negara, menyambut baik pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat-peringkat sehingga 2017, sambil menyatakan ia akan memberikan masa terhadap ekosistem automotif untuk melakukan penyelarasan.

"Malah, kami telah berunding dengan kerajaan, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Institut Automotif Malaysia  (MAI) sejak dua tahun lepas, dengan menyalurkan input kami bagi semakan semula Dasar Automotif Negara (NAP) yang kami faham akan diumumkan tidak lama lagi," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Aminar Rashid Salleh dalam satu kenyataan semalam.

Katanya langkah pengurangan harga kereta berperingkat-peringkat itu akan membolehkan ekosistem automotif, yang termasuk pengeluar, vendor, peniaga yang dibenarkan, pasaran kereta terpakai dan pihak berkepentingan lain, masa bagi melakukan penyelarasan.

"Sebagai salah satu pengeluar kereta tempatan terbesar, Perodua melihat manfaat yang besar di segi liberalisasi berperingkat-peringkat dan ini akan turut membantu kami membuat persediaan apabila pasaran dibuka sepenuhnya," katanya.

Mengenai usaha Perodua mengurangkan lagi harga keretanya, Aminar Rashid berkata pelancaran Siri S baru-baru ini adalah contoh yang terbaik bagaimana syarikat itu akan menurunkan kos pemilikan kereta bagi para pelanggannya.

"Kami bukan sahaja menurunkan harga, kami telah juga menambah lebih banyak ciri-ciri dan memberikan servis percuma selama tiga tahun bukan sahaja kepada siri S malah kepada kesemua model.

"Nilai yang kami berikan kepada pelanggan adalah antara RM4,500 hingga RM5,600," katanya.

Aminar Rashid berkata syarikat itu akan terus mengeluarkan kenderaan yang termampu dimiliki ke dalam pasaran dengan memberi penekanan terhadap kualiti di dalam harga pemilikan keseluruhan.

"Kereta kami yang paling murah berharga RM25,000 -- iaitu yang paling rendah di dalam negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAI Madani Sahari, yang bercakap di luar jadual forum "Business Time Insight -- The National Automotive Policy" berkata, Perodua adalah salah satu pengeluar kereta yang berusaha mengurangkan harga kenderaannya sejak tahun lepas, dengan memotong harga pada purata 4.3 peratus bagi kesemua model. - Bernama