DUNGUN - Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) akan menubuhkan Tabung Kebajikan Permata untuk membantu ahlinya yang kurang berkemampuan terutama bagi menampung perbelanjaan di universiti.

Yang Dipertua Permata, Mohammad Syahiran Annuar berharap dengan tertubuhnya tabung berkenaan isu mahasiswa menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa 'mengikat perut' dapat ditangani segera.

"Permata mempunyai hampir 60,000 ahli dalam dan luar negara. Menerusi tabung ini, kita akan berusaha mendapatkan dana daripada badan korporat dan pelajar yang datang daripada keluarga miskin dan kurang berkemampuan akan kita bantu.

"Permata sememangnya di bawah tanggungjawab Yayasan Terengganu dan ia banyak membantu pelajar Terengganu...tetapi dengan adanya tabung ini Permata akan bergerak sendiri untuk mendapatkan dana demi kebajikan ahli," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Syahiran berkata pihaknya tidak menafikan mahasiswa turut menerima kesan peningkatan kos sara hidup yang berlaku sekarang dan ada antara mereka yang sememangnya tidak berkemampuan khususnya penuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

"Ada betulnya isu ikat perut di universiti awam dan IPTS, tetapi tidak semua mahasiswa menghadapinya. Memang ada pelajar yang betul-betul tidak mampu sebab perbelanjaan di universiti semakin meningkat khususnya yuran, harga barang keperluan dan makanan.

"Memang kebanyakan pelajar mendapat pinjaman, tetapi ia hanya mencukupi untuk yuran setiap semester sahaja dan pelajar terpaksa mencari inisiatif lain bagi mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan seharian di universiti," katanya yang turut menggalakkan mahasiswa menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Dalam pada itu, Syahiran berkata Permata kini dalam proses menubuhkan koperasi untuk membantu kebajikan ahlinya.

"Melalui koperasi ini, kita akan perkenalkan beberapa skim termasuk skim pinjaman mikro, skim takaful dan kelas tuisyen untuk membantu ahli Permata.

"Kini masih menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menubuhkan koperasi ini," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan beliau melaksanakan Program Permata Negara (Permata) dengan ikhlas demi kebajikan dan pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara ini.
  • PUTRAJAYA - Program Permata Negara (Permata) berada di landasan yang betul dalam menjadikan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini berkualiti tinggi selaras dengan matlamat sistem pendidikan kebangsaan, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
  • KUALA LUMPUR - Tindakan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin mendesak isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meletak jawatan sebagai Penaung Program Permata Negara (Permata) disifatkan kenyataan dangkal.
  • SHAH ALAM - Program Permata yang dicetuskan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sedekad yang lalu terbuka untuk masyarakat berpendapatan rendah bagi mencungkil bakat kanak- kanak di peringkat awal.
  • KUALA LUMPUR - Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor berkata, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tetap bertekad mempertahankan Permata demi masa depan generasi muda negara ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.